ARTIKEL

Pihak polis menjalankan siasatan di sebuah kebun penternakan ayam di Lambir, lokasi mangsa ditemui.

Pekerja ladang ternakan ayam ditemui mati dengan beberapa kesan cedera

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MIRI: Seorang pekerja di ladang penternakan ayam di Lambir ditemukan meninggal dunia dengan beberapa kesan kecederaan pada kepala dan badan dipercayai akibat dibunuh, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai penemuan mangsa sekitar jam 10.29 malam.

“Laporan itu memaklumkan terdapat seorang lelaki ditemukan terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri, dan mangsa telah dibawa ke Hospital Miri untuk menerima rawatan.

“Susulan itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri telah bergegas ke Hospital Miri untuk mengesahkan kejadian tersebut.

“Setibanya pasukan polis, pihak hospital mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dengan beberapa kesan kecederaan pada kepala dan badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ekoran daripada kejadian tersebut, Alexson mengesahkan pihaknya telah menahan dua lelaki warga tempatan yang berumur dalam lingkungan 36 hingga 46 tahun untuk membantu siasatan.

Katanya, kes diklasifikasi dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Baca lain  Sambut Gawai di rumah sendiri

Alexson pada masa sama menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes ini kerana dikhuatiri akan menganggu siasatan.

“Bagaimanapun individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berkaitan insiden ini diminta untuk tampil ke Balai Polis berdekatan untuk membantu siasatan.

“Boleh juga menghubungi ASP Lee Chee Keat di talian 085-433730 untuk menyalurkan maklumat berkaitan,” tambahnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU