PEKIDA Limbang buat lawatan terhadap mangsa kemalangan di Kampung Limpaki

LIMBANG: Rombongan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (PEKIDA) cawangan Limbang telah melakukan lawatan mangsa kemalangan di Kampung Limpaki, di sini semalam.

Ketua Ranting PEKIDA bahagian Limbang, Amil Jamjam berkata, lawatan tersebut adalah bertujuan untuk memperkasakan lagi peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap masyarakat.

Menurutnya, pertubuhan itu turut menghulurkan sedikit sumbangan bagi membantu serta meringankan beban mangsa kemalangan.

“Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk menyemai rasa tanggungjawab sosial ahli NGO seperti kami untuk sama-sama turun padang membantu mereka yang memerlukan di samping merapatkan ukhuwah sesama Islam.

“Kami merancang untuk melaksanakan lagi program sedemikian secara berterusan di masa akan datang,” ujarnya semasa ditemui media.

Tambahnya, sumbangan diberikan adalah hasil dari sumbangan ahli-ahli persatuan PEKIDA Limbang.

Dalam pada itu, Arif Fiezwan Janizam, 22 berkata, bantuan diberikan sedikit sebanyak membantu meringankan bebannya.

Ujarnya, akibat dari kemalangan tersebut Arif mengalami kecacatan kekal apabila dua jari kakinya putus.

“Pada masa ini, saya tidak dapat bekerja kerana terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan.

“Sumbangan diberikan dapat saya manfaatkan untuk perbelanjaan harian saya termasuklah untuk perbelanjaan perubatan,” katanya.

Beliau berharap akan lebih banyak lagi agensi atau pertubuhan bergiat aktif dalam membantu masyarakat yang ditimpa musibah,” katanya.

Suara Sarawak