SEBUYAU: Lebih ramai pelajar dari kawasan luar bandar digalakkan menceburi bidang kritikal seperti perubatan, kejuruteraan dan teknologi bagi memenuhi keperluan tenaga pakar Sarawak pada masa hadapan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, perkembangan positif dalam bidang pendidikan menunjukkan semakin ramai anak luar bandar berani memilih bidang pengajian yang sebelum ini dianggap mencabar.
Katanya, perkembangan itu penting bagi memastikan kawasan luar bandar turut menjadi penyumbang kepada tenaga pakar yang diperlukan Sarawak, selaras dengan agenda pembangunan negeri menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030).
“Saya menggalakkan anak-anak kita di luar bandar supaya dapat menonjolkan kebolehan dan menjadi antara pakar yang kita perlukan, lebih-lebih lagi apabila kita bercakap mengenai agenda pembangunan Sarawak pasca COVID-19 dan PCDS 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Insentif Pendidikan Daerah Sebuyau di Dewan Kampung Sampat, di sini, hari ini.
Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau berkata, bidang perubatan, kejuruteraan serta kursus berkaitan teknologi yang mempunyai kaitan langsung dengan pembangunan Sarawak perlu diberikan perhatian oleh pelajar ketika ini.
Katanya, perubahan itu mula dilihat apabila semakin ramai anak luar bandar, termasuk dari Sebuyau, memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan dan kejuruteraan.
“Walaupun sesetengah kursus memerlukan penguasaan bahasa Inggeris dan mata pelajaran teknikal yang mencabar, pelajar tidak seharusnya menjadikan perkara itu sebagai penghalang untuk mengejar cita-cita,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa insentif tambahan RM300 bagi program ijazah akan dikreditkan ke akaun pelajar yang mengikuti kursus tertentu, termasuk perubatan dan kejuruteraan.
Katanya, insentif tersebut merupakan antara usaha menggalakkan lebih ramai pelajar memilih bidang kritikal berkenaan pada masa hadapan.
Seramai 69 penerima terdiri daripada pelajar program ijazah, diploma dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menerima manfaat insentif berkenaan, membabitkan jumlah keseluruhan RM25,800.






