SARIKEI: Lebih 1,000 pelajar sekolah menengah menerima sumbangan daripada ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
Mereka terdiri daripada seramai 705 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Sarikei, 701 pelajar di SMK St Anthony, SMK Bandar Sarikei (323 penerima) dan Sekolah Menengah Ming Lik ( 60 penerima), hari ini.
Ia merupakan sebahagian inisiatif wakil rakyat Repok itu membantu meringankan beban ibu bapa dan meningkatkan prestasi akademik pelajar di kawasan berkenaan.
Dalam ucapannya, Huang mengingatkan pelajar khususnya dari sekolah luar bandar agar tidak menjadikan kekurangan dan kemiskinan keluarga sebagai penghalang untuk berjaya dalam hidup.
Katanya, kekurangan harus dijadikan sebagai kekuatan untuk berjaya sekali gus membuktikan mereka mampu berjaya walaupun menghadapi halangan.
“Saya berharap bantuan seperti ini, dapat membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak pada musim pembukaan persekolahan nanti.
“Sumbangan ini diharap dapat memotivasikan mereka dan menjadi inspirasi kepada anak-anak kita untuk belajar dengan lebih tekun,” katanya.

Pada majlis sama, beliau turut menyempurnakan majlis perasmian pentas stadium serbaguna SMK Tinggi bernilai RM100,000 yang dibina melalui peruntukan RTP DUN Repok.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Menteri Sarawak yang banyak membantu kita termasuk dalan aspek pendidikan untuk anak-anak Sarawak tanpa mengira kaum mahupun agama.
“Ini menunjukkan kita komited untuk meneruskan usaha membantu sekolah dengan menyalurkan peruntukan melalui Projek RTP setiap tahun untuk menaiktaraf dan membaikpulih kemudahan sekolah,” katanya.
Dalam pada itu, seorang bapa, Leonard Lim, 45, berkata, bantuan persekolahan yang diterima anaknya banyak membantu meringankan bebanan mereka sekeluarga.
Menurutnya, dia mempunyai seramai lima orang anak yang masih bersekolah.
“Setiap seorang saya perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM100 bagi memastikan semua kelengkapan sekolah anak saya mencukupi. Sudah pasti bantuan ini amat menggembirakan saya,” katanya.
Seorang lagi ibu penerima dari Jalan Repok, Melisa James, 30, berkata, beliau bersyukur kerana anaknya terpilih menerima bantuan terbabit.
Ibu kepada dua orang anak berusia enam tahun hingga 13 tahun itu berkata, bantuan yang diterimanya amat melegakan kerana mengurangkan sedikit bebanan keluarga.
“Saya berharap bantuan seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang kerana memang membantu kami yang berpendapatan rendah,” ujarnya.


