Pelajar perlu bersemuka dengan pensyarah

KUCHING: Proses pembelajaran tidak boleh hanya bergantung 100 peratus kepada teknologi tetapi perlu digabungkan dengan proses pembelajaran secara bersemuka.

Naib Canselor Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid berkata, pelajar perlu bersemuka dengan pensyarah kerana pensyarah bukan hanya berkongsi ilmu tetapi pengalaman, gerak-geri, tingkah laku dan segala ilmu yang mereka ada.

“Manakala teknologi pula adalah penambahbaikan untuk meluaskan rangkaian pembelajaran. “Kita boleh berhubung dengan sesiapa sahaja untuk mendapatkan ilmu, bagaimanapun teknologi perlu digabungkan dengan kaedah yang lain,” katanya ketika temu bual eksklusif bersama Suara Sarawak baru-baru ini.

Tambah Khairuddin, tidak semua bidang boleh dilaksanakan secara maya dan dalam talian. “Sebagai contoh, bidang kejuruteraan dan kemahiran seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Dalam perkara ini, kita guna cara pembelajaran secara adunan. “Ada yang perlu dilaksanakan secara tradisional dan ada dalam talian. Tidak semua boleh 100 peratus secara dakan talian,” katanya.

Berkaitan penilaian dan pemantauan pelajar, Khairuddin berkatam kualiti merupakan perkara penting bagi memastikan pelajar benar-benar mengikuti pembelajaran dalam talian. “Dari segi pemantauan pelajar secara dalam talian, memang sukar untuk memantau.

“Ia bergantung kepada kebolehpercayaan pelajar itu sendiri untuk memastikan mereka tidak meniru. “Oleh itu, kami menyarankan agar pensyarah kreatif dan cuba untuk mendekati pelajar semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan pelbagai cara.

“Sebagai contoh, pensyarah boleh kumpul pelajar dari satu kawasan dan buat peperiksaan di situ. Tak boleh fikir hanya satu cara sahaja,” jelasnya.

Ujarnya lagi, ini kali pertama penysarah UCTS mengambil tahu latar belakang pelajar terutamanya yang tiada akses sambungan Internet.

Malah, pensyarah boleh menyediakan salinan nota dalam pemacu pena atau membuat salinan dan dihantar menggunakan pos seperti zaman dulu. “Asalkan ilmu itu sampai kepada pelajar, tegasnya.