Pelajar Politeknik sedia jadi usahawan

KUCHING: Misi Politeknik adalah untuk menghasilkan graduan yang berkualiti, seimbang holistik dan berdaya keusahawanan.

Pengarah Politeknik Kuching Sarawak (PKS) Jamaliah Ahmad berkata, pelbagai aktiviti direka untuk memenuhi syarat dalam menghasilkan graduan yang berkualiti.

“Beberapa aktiviti kami jalankan sepanjang tahun ini seperti Program Kesukarelawanan YES! Politeknik: Penyelenggaraan dan Baik Pulih Pendawaian Elektrik dan sebagainya.

“Selain itu, PKS juga berjaya menganjurkan program Siswapreneur Showcase Borneo 2019 pada 26 hingga 28 Julai lalu bertujuan mempromosikan pelbagai produk keusahawanan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Konvokesyen PKS Ke-27 pada sesi keempat di Dewan Jubli Perak di sini, semalam.

Tambahnya, PKS juga mencapai pencapaian 24.28 peratus pelajar yang mendapat ‘Band 4’ untuk Malaysian University English Test (MUET) dan 44 peratus pelajar boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

“Kreativiti dan inovasi amat penting terutamanya dalam pendidikan kerana ia dapat melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif serta menjadi insan yang sentiasa berfikir, ingin mencipta dan sebagainya. “Inilah ciri-ciri pelajar yang perlu kita lahirkan bagi menghadapi cabaran masa depan terutama dalam memasuki era wawasan 2020,” ujarnya.

Tambahnya, PKS turut aktif menyertai pertandingan inovasi seperti Eskpo Teknologi Malaysia 2018.

“Pelajar kami memenangi anugerah emas melalui produk yang dipanggil Production of Biodegradable Plastic From Manihot Esculenta (Tapioca) Peel.

“Selain itu, pensyarah dan pelajar kami juga meraih lapan anugerah emas di Festival Inovasi Borneo 2018 dengan produk inovasi seperti Automated Portable Sand Filter Machine, Secure Key Storage dan banyak lagi,” jelasnya lagi.

Jamilah menjelaskan, bagi produk inovasi, PKS berjaya mengeluarkan beberapa produk seperti Portable air conditioning servicing kit, E-lab key management system, Ohaa snack, Basic accounting learning kit, Beta Box dan sebagainya.

“Produk tersebut sedang dalam proses memohon Harta Intelek (IP).

“Inovasi dan kreativiti amat penting untuk membolehkan sesuatu pekerjaan menjadi lebih mudah, menjimatkan masa serta menjadikan seseorang itu lebih cekap dan produktif, ia juga menjamin kualiti kerja yang lebih baik dalam sesebuah organisasi,” tegasnya.

Majlis Konvokesyen sesi keempat petang semalam melibatkan 381 graduan diploma.

Suara Sarawak