ARTIKEL

Pelajar rugi RM1,000 ditipu sindiket pelaburan 

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Seorang pelajar menanggung kerugian RM1,000 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili dalam satu kenyataannya hari ini berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada mangsa kelmarin.

“Mangsa seorang lelaki berusia lingkungan 30-an terpedaya dengan tawaran pelaburan yang tidak wujud melalui aplikasi telegram sehingga mengalami kerugian sebanyak RM1,000

“Mangsa merupakan seorang pelajar telah berurusan melalui aplikasi Telegram dan berminat untuk sertai pelaburan Pro Smart Binance yang menjanjikan keuntungan dalam tempoh tiga jam,” ujarnya.

Zulkipli berkata, pada 21 Mei 2023, mangsa telah membuat pembayaran pelaburan berjumlah RM1,000 ke satu akaun bank tempatan dan diminta untuk menunggu dalam tempoh tiga jam.

Kemudian, jelasnya, mangsa telah dihubungi semula dan dimaklumkan telah menerima keuntungan pelaburan berjumlah RM25,000.

“Namun mangsa perlu membuat pembayaran RM7,500 untuk menebus keuntungan pelaburan yang diterima itu.

“Mangsa mulai berasa curiga dan menyedari telah terpedaya apabila sering diminta untuk membuat pembayaran yang meragukan,” katanya.

Sehingga laporan dibuat, kata Zulkipli, mangsa tidak menerima apa-apa pulangan dan keuntungan seperti yang dijanjikan.

Rentetan itu, kertas siasatan telah dibuka dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sebagai langkah pencegahan, beliau menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan dahulu sebelum membuat sebarang pelaburan atas talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Selain itu, tegasnya, orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dengan tawaran keuntungan atau pulangan yang tinggi dan menyemak status sesuatu pelaburan dengan Bank Negara Malaysia terlebih dahulu agar tidak terpedaya.

“Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, boleh dirujuk kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dan ikuti laman facebook @CyberCrimeAlertRMP @JSJKPDRM.

“Buat juga semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/,” kata beliau.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU