Pelajar terlibat kes buli dibebaskan

PADAWAN: Seramai 11 pelajar Sekolah Menengah (SM) Sains Kuching yang ditangkap kerana membuli tiga pelajar tingkatan 2, dibebaskan semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata semua mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

“Mereka mengaku ada memukul mangsa menggunakan tangan dan kaki, hanya seorang yang berperanan menyaksikan kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Aidil, semua pelajar terbabit ditangkap di sekolah lebih kurang jam 11 pagi semalam dan dibawa ke Balai Polis Kota Sentosa untuk dirakam percakapan.

Katanya empat daripada mereka adalah pelajar tingkatan 5, seorang pelajar tingkatan 4 dan enam pelajar tingkatan 3.

Dalam kejadian pada Ahad lalu, pelajar-pelajar terbabit telah bertindak membelasah tiga pelajar tingkatan 2 di asrama sekolah, menyebabkan mangsa mengalami lebam di seluruh anggota badan.

Keesokan hari, seorang daripada mangsa mengadu kepada ayahnya mengenai kejadian, yang segera melaporkan kepada polis sebelum disusuli dengan laporan oleh keluarga dua lagi mangsa.

Aidil berkata hasil pemeriksaan doktor mengesahkan kesemua mangsa mengalami kecederaan lebam di tubuh badan.

Suara Sarawak