Pelajar universiti rugi RM3,910 ditipu pelaburan tidak wujud

BINTULU: Akibat terpedaya dengan tawaran pelaburan yang tidak wujud melalui Facebook, seorang pelajar universiti tempatan di sini terpaksa menanggung kerugian RM3,910.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili  berkata kejadian dilaporkan bermula 23 Januari lalu semasa mangsa berusia 21 tahun melayari laman Facebook dan terlihat sebuah iklan pelaburan untuk mendapatkan wang cara mudah, yang berdaftar atas nama syarikat “World Index”.

“Mangsa, kemudian menekan link WhatsApp (01116712933) yang dipaparkan dalam iklan tersebut dan berhubung dengan seorang ejen dikenali Mohd Nizam Mansor.

“Suspek telah meminta mangsa membuat pembayaran sebanyak RM380 sebagai modal pendahuluan dengan transaksi pembayaran dibuat melalui pemindahan secara dalam talian dari akaun bank CIMB mangsa ke sebuah akaun bank Hong Leong yang diberikan suspek.

“Dalam tempoh 23 hingga 28 Januari  lalu, mangsa membuat beberapa kali pindahan wang ke dalam akaun yang diberikan suspek menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM3, 910,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulkipli  berkata, mangsa menyedari dirinya ditipu apabila sehingga kini tidak terima pulangan pelaburan seperti yang dijanjikan dan mendapati platform untuk urusan pelaburan yang digunakan tidak lagi berfungsi.

Katanya mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Kidurong di sini, pada Jumaat lalu (5 Februari).

Justeru, Zulkipli  mengingatkan orang ramai agar tidak sesekali mendedahkan maklumat perbankan atau maklumat kewangan kepada individu atau pihak yang tidak dikenali.

Beliau juga menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan mana – mana individu yang tidak diikenali dan membuat semakan terlebih dahulu kepada mana-mana pihak yang berkaitan bagi mengesahkan sebarang pelaburan atau bentuk skim yang dianjurkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Suara Sarawak