KUCHING: Seorang penuntut universiti swasta warga Bangladesh ditemukan lemas dikatakan terjatuh ke dalam Sungai Sarawak berhampiran Masjid India, di sini semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 3.57 petang lalu menggerakkan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan dan 10 anggota BBP Batu Lintang ke lokasi.
“Menurut saksi, mangsa berusia lingkungan 21 tahun dikatakan telah terjatuh ke dalam sungai berhampiran masjid terapung, Tebingan Kuching.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan dengan kaedah Search Water Rescue dan menggunakan gripping iron,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, anggota dari unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Batu Lintang turut membantu dalam pencarian.
Katanya, mangsa, ditemui jam 5.56 petang, kira-kira tiga meter dari lokasi mangsa dikatakan terjatuh.