Pelajari BI guna permainan interaktif

KUCHING: Seramai 87 guru pelatih berkongsi satu alternatif pelbagai kaedah untuk memastikan 220 murid Sekolah Kebangsaan (Agama) Datuk Haji Kadir Hassan menguasai bahasa Inggeris (BI) dengan lebih baik.

Menurut Pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang So Suez Pink, pihaknya ingin membuktikan bahawa bukan mustahil untuk menguasai BI dengan baik.

Sebab itu katanya, IPG Batu Lintang menggerakkan sekumpulan guru pelatih untuk menarik minat murid di sekolah tersebut agar mencintai BI, sekali gus menguasainya. “Pada hari pertama, kita mengadakan kem BI melibatkan 45 guru pelatih.

“Ini merupakan satu alternatif. Saya dan seorang lagi pensyarah Anne Anthony memberi pendedahan kepada murid bagaimana mempelajari bahasa kedua itu menggunakan permainan interaktif yang menyeronokkan.

“Antaranya melalui aktiviti Word Jumble, Spinning Wheels, Decoding and Giant Snakes and Ladders,” katanya.

Jelasnya, pada hari kedua, diadakan aktiviti bercerita yang dilaksanakan oleh 42 guru pelatih. “Sebanyak enam cerita klasik Barat yang popular disampaikan kepada 211 murid seperti Three Little Pigs, Rumpelstiltskin dan The Three Wishes.

“Dalam slot ini, guru pelatih menyampaikan cerita-cerita tersebut dalam bentuk multimedia, visual, action song dan lakonan.

“Saya nampak kesemua murid terlibat secara aktif. “Oleh itu, pihak IPG mengharapkan melalui aktiviti yang diadakan itu mampu memberi impak besar khususnya dalam kalangan murid selain sekolah, guru pelatih dan institusi betapa pentingnya menguasai bahasa komunikasi dunia itu (BI),” ujarnya lagi.

Program berjalan lancar dan rata-rata murid serta guru sekolah berkenaan menyambut baik inisiatif IPG Kampus Batu Lintang. Turut hadir ketua pogram Nur Billah Mahirah.

Suara Sarawak