Pelajari teknik vokal baru boleh digelar penyanyi

KUCHING: Seseorang yang pandai menyanyi tidak dapat digelar sebagai penyanyi kerana mereka perlu mempelajari teknik vokal dalam nyanyian.

Juri Tetap Program Realiti TVSTARZ merangkap Guru Vokal, Yudhi Seriestha berkata, penyanyi yang berbakat akan belajar dari segi teknik pernafasan, kawalan suara, lontaran suara, dan sebutan daripada setiap nyanyian.

“Saya berharap enam orang peserta yang mengikuti Program Realiti TVSTARZ musim pertama bersiap sedia menghadapi cabaran.

“Persediaan mereka ini penting untuk menjadikan mereka sebagai seorang penyanyi yang berkaliber kelak,” katanya dalam satu sidang media di Restoran Theatre, Kozi Square hari ini.

Tambah beliau, program seperti itu amat dinanti-nantikan oleh anak Sarawak yang berbakat dalam bidang nyanyian.

Jelasnya, beliau telah menanti selama 30 tahun untuk Sarawak mempunyai siaran televisyen sendiri bagi mencungkil bakat-bakat baru anak Sarawak.

Sementara itu, seramai enam orang peserta baru yang berbakat dalam bidang nyanyian bakal dikenali sebagai ‘The Dream Team’ akan berhadapan dengan seorang pencabar setiap minggu dalam Program Realiti Terbaru TVSTARZ musim pertama bermula 16 Mac ini.

Manakala, musim kedua pula bakal mempersembahkan kemahiran pengacaraan dan musim ketiga mengetengahkan kebolehan berlakon para peserta.

Penyertaan adalah terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia termasuklah negara lain.

Menariknya program tersebut berbeza daripada rancangan pencarian bakat baru yang lain kerana bakal dihasilkan 100 peratus secara maya dan disiarkan di kaca televisyen.

Suara Sarawak