SARIKEI: Pelaksanaan 90 projek di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) secara keseluruhannya berada pada landasan betul, dengan beberapa projek masih menunggu kelulusan tapak dan urusan teknikal sebelum kerja dimulakan.
Pengerusi RADDA, Datuk Len Talif Salleh, berkata perkembangan projek di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk Dalat, Kuala Rajang, Meradong dan Repok, turut menunjukkan kemajuan yang baik.
Keadaan itu, katanya, membolehkan pihaknya menilai keseluruhan pelaksanaan projek RADDA sebagai memuaskan.
“Daripada 90 projek yang diluluskan, beberapa DUN sudah melaksanakan banyak projek dan secara keseluruhannya pelaksanaan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pecah Tanah dan Penyerahan Cek Pampasan Jalan Spur dari Sare ke Jalan Sentebu, Bukit Kinyau, di sini, hari ini.
Katanya, projek yang masih belum dimulakan kebanyakannya memerlukan penyelesaian berkaitan tapak, termasuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan.
Menurutnya, proses berkenaan penting bagi memastikan kerja pembangunan dapat dilaksanakan secara teratur dan tidak menimbulkan masalah pada peringkat pembinaan kelak.
Len Talif berkata, RADDA akan terus meneliti kemajuan setiap projek dari semasa ke semasa bagi memastikan pelaksana mematuhi perancangan serta jadual yang ditetapkan.
“Sebarang isu yang timbul akan dikenal pasti dan diselesaikan segera supaya pelaksanaan projek dapat diteruskan tanpa menjejaskan sasaran keseluruhan,” katanya.




