ARTIKEL

Kredit: Facebook Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) | BERNAMA

Pelaksanaan RDICE: Lebih RM9 trilion kepada KDNK menjelang 2030

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PUTRAJAYA: Pelan Hala Tuju Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi Negara (RDICE) akan mula dilaksanakan secara berperingkat tahun ini sehingga 2030 dan dijangka menyumbang RM9.21 trilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2030.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menjelaskan RDICE diluluskan dalam mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC) hari ini yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

“RDICE mengandungi tiga teras, enam strategi dan 20 pelan tindakan akan memberikan manfaat kepada rangkaian hab inovasi global, menggalakkan penggunaan indeks pengukuran tahap teknologi, pengenalan konsep Pulangan ke atas Nilai (ROV), memprofilkan institusi penyelidikan dan mengiktiraf kepentingan Pegawai Pemindahan Teknologi (TTO),” menurutnya dalam kenyataan pada Selasa.

MOSTI memaklumkan mesyuarat turut bersetuju supaya semua pihak berkepentingan perlu berkongsi data dan maklumat berkaitan penyelidikan dan pembangunan (R&D) masing-masing untuk diselaraskan dalam satu platform ekosistem induk negara bagi memaksimumkan potensi R&D dan pengkomersialan negara.

NSC juga bersetuju dengan konsep pemerkasaan Ekonomi Biru untuk mewujudkan kemampanan ekonomi lautan yang terhasil melalui keseimbangan aktiviti ekonomi, dengan kapasiti ekosistem lautan yang berdaya tahan dan sejahtera, tambahnya.

“Ekonomi Biru yang lestari dan berinovasi mampu menjana pulangan nilai daripada sektor marin dan maritim negara dengan potensi peningkatan sumbangan sumber marin dan lautan kepada KDNK negara daripada 21.3 peratus kepada 31.5 peratus pada 2030, dengan penglibatan 13 kementerian dan agensi berkaitan,” menurut MOSTI.

MOSTI menjelaskan mesyuarat itu juga bersetuju supaya penyelarasan secara bersepadu diterajui oleh Kementerian Ekonomi agar dapat meneruskan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan termasuk kerajaan negeri.

NSC turut mengambil maklum mengenai kepentingan Malaysia untuk membangunkan teknologi dan kepakaran tempatan bagi mewujudkan Ekosistem Industri Bahan Termaju Unsur Nadir Bumi, yang mampu menyumbang RM9.5 bilion kepada KDNK, jelasnya.

Selain itu, Kementerian Kerja Raya telah membangunkan Manual Penjanaan Perjalanan Malaysia 2020 (MyTripGen 2020) sebagai dokumen rujukan pengamal kejuruteraan trafik dalam membuat unjuran penjanaan trafik berdasarkan cadangan pembangunan guna tanah baharu atau tambahan di sesuatu kawasan, tambah MOSTI.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata mesyuarat NSC kali ini menekankan pembangunan bakat STIE (sains, teknologi, inovasi dan ekonomi) berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri, seiring dengan fokus negara ke arah penerokaan dan pembangunan industri pertumbuhan tinggi dan nilai tinggi.

NSC mencerminkan usaha bersepadu kerajaan Malaysia MADANI melalui kerjasama pelbagai kementerian dan agensi bagi menangani cabaran semasa dengan lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat, katanya dalam kenyataan yang sama.

Beliau berkata MOSTI akan terus memperkukuh NSC sebagai platform bagi menetapkan hala tuju dan dasar sains, teknologi dan inovasi (STI) negara melalui penglibatan kerajaan, industri dan akademia dalam strategi pembangunan negara, di samping mengenal pasti bidang STI yang berpotensi untuk diteroka bagi pelaburan berimpak tinggi. — BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU