KITA sering mendengar kes khianat merosakkan harta benda atau dikenali sebagai vandalisme sejak akhirakhir ini, yang melibatkan kemudahan awam dan harta persendirian.
Tahukah anda kes terbabit adalah salah satu jenayah yang sering didakwa di mahkamah?
Antara kes merosakkan harta benda yang sering dilaporkan adalah merosakkan kereta, harta dan kemudahan awam, memecah cermin bangunan atau rumah dalam kejadian pecah masuk, dan sebagainya.
Memetik laporan media November tahun lalu, jenayah indeks di negara ini membabitkan jenayah kekerasan dan harta benda, menurun sebanyak 19.3 peratus dengan 52,974 kes dicatatkan pada 2021 berbanding 65,623 kes pada 2020.
Jenayah kekerasan turun 13.4 peratus dengan 11,495 kes, manakala jenayah harta benda turun 20.8 peratus tahun lalu, dengan 41,479 kes.
Kes melibatkan vandalisme ini pastinya menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit kepada negara.
RM3 juta baiki pili bomba
Sebagai contoh pada 2017, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mendedahkan, hampir RM3 juta dibelanjakan untuk membaiki pili bomba yang rosak sejak 2011 sehingga pertengahan 2017 akibat gejala vandalisme yang dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Pelbagai punca menyebabkan vandalisme berlaku.
Antaranya mencuri harta benda awam kerana kesempitan hidup demi mendapatkan wang selepas mereka.
Selain itu, terdapat segelintir individu yang sengaja merosakkan harta benda awam sebagai satu keseronokan atau sebagai sabotaj terhadap kerajaan.
Selain itu, vandalisme yang melibatkan kes merosakkan harta persendirian juga sering dikaitkan dengan insiden mengamuk pelaku hingga merosakkan harta orang awam.
Bukan itu sahaja, jenayah merosakkan harta benda ini sering berlaku dalam kalangan ahli keluarga apabila pelaku mengamuk kerana tidak diberikan apa-apa yang diminta atau tidak puas hati dengan ahli keluarga lain.
Kes-kes seperti ini sering berlaku kepada mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah atau di bawah pengaruh alkohol.
Kesalahan seperti ini boleh didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit bersalah.
Hukuman seperti ini pastinya memberikan satu tamparan hebat buat si pelaku apabila dikenakan penjara tidak kurang satu tahun atau dikenakan denda.
Namun demikian, tidak ramai yang menyedari bahawa kesalahan merosakkan harta benda awam dan peribadi boleh dikenakan hukuman berat.
Selain itu, mungkin ramai juga yang menyedari hukuman terbabit tetapi tidak mengambil kisah akan tindakan undangundang di negara ini, kerana mungkin terdapat kes yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Kesimpulannya, jenayah merosakkan harta benda ini harus dibendung hingga ke akar umbi.
Pendidikan awal kanakkanak mengenai tindakan undang-undang dan hukuman yang bakal dikenakan harus diterapkan dalam minda mereka, sama seperti mendidik bahayanya penyalahgunaan dadah.
Masyarakat juga harus memberikan kerjasama melaporkan sekiranya kejadian yang melibatkan kes vandalisme.