Pelan induk industri pelancongan Bakun bakal siap enam hingga lapan bulan
KUCHING: Pelan induk bagi industri pelancongan Bakun dijangka siap dalam tempoh enam hingga lapan bulan lagi, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (Recoda) Datuk Ismawi Ismuni.
Beliau berkata sebaik pelan induk itu siap, ia akan dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan kelulusan.

“Selepas itu kita boleh melaksanakan cadangan dan dapatan pelan induk tersebut.

“Tetapi kita akan melakukannya secara berperingkat kerana Bakun begitu besar, saiz Bakun saya rasa hampir sama dengan keluasan Singapura, bayangkan saiz itu, jadi kita akan melakukannya secara berperingkat, kita tahu keutamaan kita, kita akan melaksanakan infrastruktur dahulu, “katanya pada sidang media di luar Sidang Kemuncak Perniagaan dan Ekonomi Antarabangsa Sarawak di sini hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Masing dan Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang.

Idea untuk mengubah tempat yang terlibat dengan pembinaan empangan hidroelektrik di seluruh Sarawak menjadi destinasi pelancongan yang menarik telah dicetuskan pada 2013 dan diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang ketika itu Menteri Pelancongan Negeri.

Beliau dilaporkan sebagai berkata bahawa kajian pedalaman itu dilakukan dengan bantuan pakar-pakar dan perunding antarabangsa, dan sedang mengkaji kemungkinan untuk membina sebuah resort di sekitar kawasan Bakun. – Bernama