Pelancong maut terjatuh dari Hilux

KUCHING:  Seorang pelancong maut selepas terjatuh dari kabin sebuah pacuan empat roda, dalam kemalangan yang berlaku di Jalan FAC Matang sekitar jam 4 petang semalam.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, mangsa, 28, yang merupakan warganegara Sepanyol menaiki sebuah kereta Toyota Hilux bersama tiga lelaki warga tempatan.

Katanya kejadian berlaku semasa mereka dalam perjalanan dari arah Kuching menuju ke Kampung Telaga Air.

“Apabila sampai di Jalan FAC Matang, Francisco Javier Fernandez De Lascoiti Mateo yang pada ketika itu duduk di bahagian kabin terbuka pacuan empat roda tersebut bersama seorang lagi penumpang telah tergelincir dan terjatuh keluar ke jalan raya.

“Akibat itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan telah dihantar ke Pusat Pakar Perubatan Normal Kuching untuk rawatan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 7.30 malam dan mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexson berkata pihak kedutaan Sepanyol serta keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai kejadian, dan keluarga mangsa kini dalam perjalanan ke Kuching.

Katanya mangsa dipercayai datang ke Sarawak pada 9 September lalu.

Setakat ini, kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mangsa warga Sepanyol maut akibat terjatuh dari kabin terbuka Toyota Hilux yang dinaikinya.