Pelancong terkandas, ribut landa New Zealand

MOUNT HUTT: Hampir 1,000 pelancong terkandas di South Island, New Zealand pada Isnin selepas perhubungan darat terputus, jambatan runtuh dan banjir akibat ribut yang melanda kawasan terbabit.

Ahli meteorologi berkata, cuaca buruk membawa hujan sehingga 400 milimeter melanda South Island dalam tempoh 24 jam dengan angin kencang dan 230,000 panahan petir.

Lebuh raya utama pulau itu terpaksa ditutup selepas sungai Rangitata melimpahi tebing memenuhi kawasan itu.

Perbandaran berhampiran glasier Franz Josef yang popular turut terputus hubungan susulan tanah runtuh yang menghalang akses laluan ke kawasan terbabit.

New Zealand yang memasuki musim kemuncak pelancongannya, menerima kunjungan kira-kira 970 pelawat di Franz Josef. Mereka yang terkandas mungkin terpaksa menaiki helikopter dengan kos mahal untuk keluar dari pulau itu atau menunggu sehingga Jumaat, selepas jalan darat dipulihkan.

“Kami berjaya memastikan sebahagian pelancong ditempatkan di hotel, motel dan pusat kebajikan buat sementara. “Buat masa ini, kami berharap mereka bertenang kerana kami mahu memastikan laluan kembali pulih bagi membolehkan bekalan dihantar,” kata jurucakap Pertahanan Awam, Stephen Doran.

Dalam pada itu, satu insiden tanah runtuh di pantai barat pulau dijangka mengambil masa sehingga enam minggu untuk dibaik pulih.

Cuaca buruk melanda New Zeland sejak hujung munggu lalu diramalkan berterusan hingga minggu ini, menyebabkan pihak berkuasa bertungkus-lumus menyelesaikan kerja membaik pulih pada kadar segera. – AFP

Suara Sarawak