Pelancongan domestik dijangka pulih pada suku kedua tahun 2021 selepas penerimaan suntikan vaksin Covid-19.

KUCHING: Pelancongan domestik Semenanjung Malaysia dan Sarawak dijangka akan pulih pada suku kedua tahun 2021 dengan anggaran jumlah kedatangan pelancong sebanyak 1.1 juta orang selepas penerimaan suntikan vaksin Covid-19.

Menteri Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, anggaran pendapatan daripada jumlah tersebut ialah RM2.64 bilion tetapi bergantung kepada keadaan semasa pandemik Covid-19.

“Industri pelancongan juga merupakan penyumbang utama dalam pertumbuhan ekonomi negara dan memperkenalkan Pembiayaan Pelancongan Penjana (PTF) untuk membantu pengusaha pusat pelancongan.

“Usaha ini adalah inisiatif kerajaan di bawah kementerian saya untuk membantu pengusaha industri pelancongan semasa pandemik Covid-19.

“Oleh itu, saya mengalakkan pengusaha ini merebut peluang keemasan untuk melakukan pelaburan bagi membantu perniagaan mereka melalui PTF,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Karim menjelaskan bahawa kementeriannya telah banyak membantu pengusaha pelancongan tempatan sepanjang wabak Covid-19 melanda dengan memberikan bantuan dan dana sebanyak jutaan ringgit.

Jelasnya, bagi mereka yang menyatakan bahawa tidak ada banyak usaha atau bantuan lain kepada pengusaha pusat pelancongan sepanjang 12 bulan yang lepas adalah tidak wajar.

“Tuduhan itu adalah tidak adil apabila tiada usaha kerajaan dalam membantu industri tersebut. Ini kerana, industri pelancongan turut memberi sumber pendapatan kepada negara secara langsung dan tidak langsung,” tegasnya.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri telah membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk membantu rakyat melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) tahun lepas termasuk mereka yang berada dalam industri pelancongan.

Bantuan sokongan tersebut turut meningkat kepada 788.543 pada bulan Ogos tahun lepas yang merangkumi semua orang yang bekerja di sektor ekonomi.

Suara Sarawak