Pelancongan hidupkan Pantai Belawai

TANJUNG MANIS: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM3 juta menaik taraf kemudahan di Pantai Belawai bertujuan menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan tersebut.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, langkah proaktif itu melibatkan pembinaan pelbagai prasarana untuk kemudahan orang ramai yang berkunjung ke pantai berkenaan.

“Pantai Belawai mempunyai potensi besar dalam bidang pelancongan dengan adanya persekitaran yang tenang dan jajaran pantai yang bersih selain beberapa tarikan lain yang menarik di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata, usaha memperelokkan pantai berkenaan memberi manfaat besar kepada penduduk setempat khususnya peniaga kecil.

Malah ujarnya lagi, kehadiran lebih ramai pengunjung bukan sahaja menghidupkan suasana pantai tetapi juga membantu merancakkan ekonomi penduduk di sini.

“Melalui kemudahan baharu ini, kita menyediakan kemudahan yang lebih selesa kepada pengunjung di samping membuka ruang kepada penduduk tempatan menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

“Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada penganjur atas kejayaan penganjuran Shimano International Surfcasting Challenge 2019 hingga berjaya menarik kehadiran peserta tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Majlis itu turut diserikan dengan pelepasan benih ikan siakap oleh Len dan tetamu jemputan ke perairan Belawai.

Turut hadir Pengarah Perikanan Laut Sarawak Bohari Leng dan Pegawai Daerah Tanjung Manis, Udin Bujang.

Suara Sarawak