KUCHING: Pelancongan Masjid di Sarawak berpotensi untuk memberikan sentuhan baharu kepada industri pelancongan dan kebudayaan, kata Datuk Seri Nancy Shukri.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) itu berkata, kekayaan budaya setempat, tarikan alam semulajadi, kepelbagaian makanan warisan, hasil kraftangan, cara hidup masyarakat dan etnik semuanya ada di negeri ini.
“Ia boleh digabungkan menjadi pakej pelancongan menarik untuk lawatan ke masjid-masjid dan dapat menambat hati para pelancong,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelancongan Masjid Peringkat Negeri Sarawak di Hotel Pullman Kuching, hari ini.
Nancy menambah, Motac melalui agensinya iaitu Pusat Pelancongan Islam (ITC) telah mengenal pasti produk Pelancongan Islam baharu iaitu Pelancongan Masjid atau Mosque Tourism tersebut.
Katanya, ITC telah bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), serta Jabatan dan Majlis Agama Islam Negeri untuk membangunkan konsep Pelancongan Masjid yang mempunyai potensi tarikan pelancongan di peringkat domestik dan antarabangsa.