Pelantikan ahli Jawatankuasa Bebas Darurat daripada pelbagai latar belakang, bertepatan – Pakar

KUALA LUMPUR: Pelantikan ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang merangkumi pelbagai latar belakang, pengalaman, kelayakan dan kepakaran disifatkan bertepatan selain dilihat mampu memberikan pandangan dengan meletakkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan.

Felow Kanan Majlis Profesor Negara Dr Jeniri Amir berkata dengan ketokohan yang dimiliki ahli jawatankuasa itu, sudah pasti mereka mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan sebaik mungkin.

“Mereka ini bukannya calang-calang orang, mereka ada ketokohan dan mempunyai integriti, mereka ini pastinya akan menjunjung tinggi amanah yang diberikan Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).

‘’Saya percaya dengan amanah yang diletakkan di atas bahu mereka, mereka akan buat satu keputusan berdasarkan tanggungjawab yang diberikan,’’ katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Pejabat Perdana Menteri hari ini mengumumkan pelantikan Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 selepas diperkenankan Al-Sultan Abdullah.

Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 itu ditubuhkan mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dengan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria.

Keanggotaannya pula terdiri daripada pakar kesihatan awam, wakil parti politik pembangkang dan kerajaan, tokoh bidang pendidikan, kesihatan, keselamatan, ketenteraman awam, pentadbiran awam dan undang-undang, mufti serta wakil dewan perniagaan.

Jawatankuasa itu berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat di Malaysia dan penamatannya

Jeniri berkata setiap ahli jawatankuasa yang dilantik itu akan bersikap profesional dan tidak akan mengetepikan kepentingan rakyat dalam memberi pandangan dan keputusan berhubung isu darurat.

Katanya kumpulan itu pasti tidak akan terjebak dengan permainan politik mana-mana pihak dalam membuat keputusan.

‘’Saya yakin mereka ini tidak terjebak dengan permainan politik kerana sebarang keputusan akan memberi kesan besar terhadap kedudukan negara, bukan sahaja dari segi politik tetapi juga dari segi ekonomi dan kesihatan untuk jangka panjang,’’ katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Sains Malaysia Prof Dr Sivamurugan Pandian berpendapat jawatankuasa tersebut berperanan sebagai medium semak dan imbang kerana ia bukan sahaja dianggotai individu berpengalaman, malah turut melibatkan anggota kerajaan dan pembangkang.

Menurutnya, jawatankuasa itu perlu dilihat sebagai langkah positif bagi menilai keadaan semasa berkaitan pandemik COVID-19, di samping bertindak menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memastikan proklamasi darurat berjalan dengan baik dan berkesan.

Beliau berkata penubuhan jawatankuasa itu turut mampu menyediakan input besar kepada aspek keselamatan dan kesihatan negara, selain memberikan imej lebih baik ke atas pelaksanaan darurat.

“Jawatankuasa ini boleh memberikan cadangan penambahbaikan terhadap apa yang sedang dilaksanakan oleh agensi berwajib untuk menangani pandemik COVID-19 secara konsisten dan berterusan.

‘’Dalam konteks ini saya percaya semua anggotanya mempunyai tanggungjawab melangkaui kepentingan politik tetapi kepentingan yang bersifat kenegaraan,” katanya.