Pelantikan kabinet perkara kedua, utamakan kestabilan pentadbiran negara

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menegaskan, keutamaan GPS pada masa ini adalah untuk melihat pentadbiran negara stabil di bawah Perikatan Nasional, yang diterajui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau akan melihat dahulu, sama ada menerima atau tidak jika GPS ditawarkan jawatan dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan.

“Kalau ada tawaran, saya akan melihatnya… tetapi ini perkara kedua, yang utama adalah negara,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Forum Keharmonian Antara Penganut Agama Peringkat Sarawak di Pusat Penerangan Islam (IIC) Sarawak di sini baru-baru ini.

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS diberi mandat oleh gabungan itu yang terdiri daripada parti PBB, PRS, SUPP dan PDP untuk memutuskan sama ada akan bersama-sama dalam Kerajaan Persekutuan dengan mengambil jawatan kabinet ataupun tidak.

Beliau berkata, peranan GPS dalam menentukan Perdana Menteri kelapan menunjukkan kuasa gabungan ini sebagai salah sebuah entiti politik yang penting di Malaysia. “Ia sekali gus mencerminkan langkah kanan GPS yang meninggalkan BN selepas PRU-14,” tambahnya.

Beliau menjelaskan, jika GPS masih bersama dalam BN, maka BN akan menjadi jurucakap mereka dalam menangani kemelut politik negara yang berlarutan minggu lalu. “Saya bukan hendak mengatakan kita regionalistik tetapi ini adalah perkongsian kuasa sebenar,” katanya.

Ditanya mengenai keputusan menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, Abang Johari menjelaskan, ini kerana beliau tidak mempunyai pilihan, selain demi kepentingan negara dan Sarawak. “Saya mengenali Muhyiddin dan juga kenal Anwar Ibrahim, tetapi saya perlu memilih seorang.

“Keputusan kami adalah untuk menyelamatkan negara daripada ketidakstabilan politik dan pada masa sama, perjuangan asas GPS adalah untuk melindungi kepentingan Sarawak dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Menurut Abang Johari, GPS membuat keputusan menyokong Muhyiddin setelah beliau mendapat panggilan dari Istana Negara pada Ahad apabila Yang di-Pertuan Agong memerlukan GPS untuk menentukan Perdana Menteri kelapan.

“Waktu itu saya berada di Sungai Asap. Mereka tidak dapat menghubungi saya kerana tidak ada talian telefon. “Jadi saya mendapat panggilan dari Istana Negara pada jam 4 petang. Jadi saya katakan kita pergi kepada Tan Sri Muhyiddin… susulan itu, Perdana Menteri kelapan diumumkan sekitar jam 5 petang.

“GPS lakukan ini untuk menyelamatkan negara daripada kemelut politik kerana kita tidak boleh meninggalkan negara tergantung tanpa Perdana Menteri,” katanya.

Suara Sarawak