
KUCHING: Pelayaran Kembara Sungai Danau Sentarum Kapuas, Edisi Ke-2 bakal bermula 10 Mac ini diketuai bekas Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Leo Moggie dan Tokoh Masyarakat Julau Datuk Temenggong Janggu.
Aktiviti yang diadakan selepas enam tahun (daripada yang pertama) ini berlayar selama tujuh hari dan enam malam menggunakan bot laju dari Lanjak menyeberangi Danau Sentarum ke Sungai Kapuas.
Menurut Konsulat Jeneral Republik Indonesia Raden Sigit Witjaksono, perjalanan tersebut juga akan melewati Kota Sintang, Kota Sekadau, Kota Sanggau Kapuas, Pulau Tayan dan seterusnya ke Pontianak.
“Di Sintang, selepas jelajah bandar, kami akan melawat Rumah Panjang Ensaid, Betang Kobus dan Bukit Kelam. Manakala di Pontianak, kami akan lakukan jelajah bandar dan melawat tempat-tempat pelancongan terpilih seperti Tugu Katulistiwa, Pusat Aloevera, Rumah Redangk dan pusat beli-belah Gaia City yang baharu.
“Pada 16 Mac, kami akan pulang ke Kuching dengan menaiki bas keluar dari Kalimantan Barat melalui Tebedu-Entekong Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media oleh Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Pejabat Konsulat Indonesia di sini, hari ini.
Tambahnya, berbeza dengan edisi pertama yang menggunakan Kapal Bandung untuk berlayar, perjalanan kali ini akan memberi pengalaman tidur di rumah perahu selama dua malam, di sebuah hotel di Kota Sintang, dan mengembara menaiki bot dan bas.
“Jadi mereka yang ikut serta dapat merasakan pengalaman, sekali gus menikmati pemandangan ketika menaiki bas, menyusuri Sungai Kapuas,” ujarnya.
