Pelayaran mewah bertukar mimpi ngeri

lagi 41 disahkan positif koronavirus..

YOKOHAMA: 41 lagi penumpang lain di sebuah kapal persiaran Jepun disahkan positif koronavirus, menjadikan jumlah kes meningkat kepada 61 orang, kata Menteri Kesihatan Jepun semalam.

Memetik Reuters, kapal pelayaran Diamond Princess yang membawa kira-kira 3,700 orang itu dikuarantin selama dua minggu selepas seorang penumpang didapati positif virus berkenaan di Hong Kong.

Menurut Kementerian Kesihatan, kesemua 61 kes itu merupakan sampel daripada 273 orang yang diuji sama ada menunjukkan gejala serta mempunyai hubungan langsung dengan mereka yang dijangkit.

Menteri Kesihatan Katsunobu Kato memberitahu sidang media 21 daripada 41 kes baharu itu melibatkan warga Jepun.

Ujian lanjut akan dilakukan sekiranya penumpang tambahan di dalam kapal itu mengalami gejala, katanya.

Berdasarkan rakaman langsung televisyen tempatan, menunjukkan pesakit dipindah dari kapal persiaran ditempatkan di hospital Tokyo dan kawasan berhampiran.

Sementara itu, warga Amerika Ashley Rhodes Courter berharap pihak berkuasa AS dapat membantu ibu bapanya untuk kluar dari kapal persiaran tersebut.

“Mereka semua bernafas dalam udara yang tercemar, mereka senang dijangkiti,” kata Rhodes-Courter.

Virus ini mudah merebak dari orang yang dijangkiti menerusi rembesan cecair, batuk dan bersin serta disebarkan menerusi permukaan yang terkontaminasi seperti pemegang pintu.

Pakar mengatakan ia lebih mudah merebak berbanding virus SARS.

Suara Sarawak