Pelbagai acara pelancongan 2021

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan melancarkan kalendar untuk acara pelancongan bagi tahun 2021.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting berkata, sebanyak 117 acara pelancongan bakal diadakan pada tahun hadapan.

Katanya, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan bersama-sama rakan strategik bekerja keras membuat persiapan tersebut.

Jelasnya, kementeriannya akan fokus kepada aktiviti berasaskan ekopelancongan dan pelancongan komuniti yang menyasarkan pelancongan domestik.

“Kami ingin galakkan warga tempatan khususnya di pedalaman untuk menyediakan perkhidmatan inap desa. “Ini selaras dengan hasrat kementerian untuk mempromosikan pelancongan domestik,” ujar Sebastian pada sidang media usai sahaja mempengerusikan mesyuarat ketiga Jawatankuasa Pelancongan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, (BCCK) semalam.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Hii Chang Kee, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Sharzede Datu Salleh Askor, Pengarah Motac Charles Suriya Buas dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak, Shatkawi Amit Tambah Sebastian, kehadiran pelancong antarabangsa dijangka berada pada tahap minimum bagi suku pertama tahun hadapan.

Justeru kata Sebastian, STB bersama kementerian akan terus memberi fokus untuk mempromosikan pelancongan domestik secara aktif. “Sepanjang tahun ini, sebanyak 66 air terjun ditemui di seluruh Sarawak, sebanyak 55 air terjun dibentangkan pada mesyuarat pagi tadi.

“Semuanya indah dan cantik. Di Miri, baru-baru ini, kami menemui beberapa air terjun yang menarik. “Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bersama-sama STB membantu mempromosikan produk pelancongan. Bersamasama kita mengharungi waktu yang sukar ketika pandemik Covid19 ini dan mengharapkan yang terbaik untuk tahun hadapan,” ujarnya.

Mengenai kejayaan kempen Sia Sitok Sarawak Sebastian berkata, hingga kini kempen tersebut menjana keuntungan sebanyak RM900,000 untuk jualan 634 pakej pelancongan dan tempahan seramai 3,677 orang.

Justeru katanya, hebahan mengenai kempen Sia Sitok Sarawak perlu diperluas untuk mendapatkan perhatian orang ramai dan berterima kasih kepada media yang membantu mempergiatkan hebahan kempen.

Suara Sarawak