Pelbagai bantuan tersedia untuk petani Sarawak – Uggah

KUCHING: Pelbagai bantuan seperti geran, pinjaman modal teroka serta nasihat teknikal dan profesional tersedia untuk membantu petani tempatan Sarawak mengusahakan secara besar-besaran, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata kerajaan negeri berazam untuk membantu petani tempatan meneroka ke pasaran yang lebih besar seiring dengan aspirasi negeri untuk menjadi pengeksport bersih makanan dan produk makanan menjelang 2030.

Uggah berkata kerajaan juga telah menyediakan beberapa program berkaitan pertanian untuk membantu dan menggalakkan pertumbuhan perniagaan mereka, termasuk rancangan untuk menubuhkan pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan (CPPC) bagi membantu mereka dalam pemasaran.

Beliau berkata demikian semasa melawat Semukoi Agro Farm Sdn Bhd di KM79 Jalan Serian-Sri Aman, dekat sini hari ini.

Ladang berkenaan milik usahawan agro Dayak Iban, Terence S.Landong yang mengendalikannya dengan ahli keluarganya, mengusahakan tanaman rock melon Jepun.

Uggah juga gembira melihat semakin ramai usahawan dari kalangan penduduk tempatan telah menyertai industri ini.

“Mereka melakukan bahagian mereka untuk membantu memenuhi aspirasi negeri menjadi pengeksport bersih makanan dan produk makanan menjelang 2030. Mereka boleh menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan penting kita.

“Saya berharap mereka akan mengikuti jejak langkah usahawan lain yang berjaya dengan mendapatkan akreditasi MyGAP dan lain-lain untuk membolehkan produk mereka menembusi pasaran luar,” katanya.

Uggah berkata tidak lama lagi akan terdapat keperluan bagi usahawan membangunkan dan membekalkan benih buah.

“Ini akan menjadi perniagaan besar apabila lebih banyak orang masuk ke dalam industri,” katanya. – Bernama

Suara Sarawak