Pelbagai inisiatif bantu rakyat miskin

Walaupun adakala bantuan yang diberikan tidak seberapa, namun bagi penerima yang memerlukan, sesungguhnya mereka begitu menghargainya. Orang kata, kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan.

Salah satu bantuan popular kini ialah Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS).

Di bawah projek berkenaan RM72 juta peruntukan melibatkan 72 kawasan Dun di Sarawak. Ini bermaksud setiap Dun diperuntukan RM1 juta.

Namun, pelaksanaannya dibahagikan kepada dua fasa. Ada sesetengah Dun, fasa pertama sudah selesai dan mungkin ada sebahagian lagi yang belum.

Secara dasarnya bantuan berkenaan merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak pimpinan GPS meneruskan kesinambungan usaha membantu rakyat miskin di Sarawak selepas Kerajaan Persekutuan menghentikan projek tersebut.

Projek tersebut memastikan mereka yang layak akan memiliki rumah selesa untuk didiami. Namun, sepanjang pelaksanaannya ada juga cakap-cakap yang mempertikai cara pelaksanaannya.

Pertama dari segi cara pemilihan penerima bantuan yang dikatakan kurang efektif dan adil.

Kedua, ada dalam kalangan penerima bantuan merupakan individu yang pernah menerima bantuan lain sebelum ini sedangkan ada lagi insan lain yang lebih memerlukan dan tidak pernah menerima sebarang bantuan.

Ketiga, faktor pilih bulu. Kalau diikutkan, bantuan PPMRS diberikan kepada pemohon miskin atau tidak berkemampuan untuk membaik pulih rumah.

Rumah Uzur, Daif

Kaedah pemilihan PPRMS ini adalah berdasarkan kepada mereka yang mempunyai rumah yang uzur dan daif serta tidak selamat didiami, ibu tunggal yang tidak berpengalaman, golongan mualaf dan golongan asnaf.

Sebab itu bantuan PPRMS ini banyak memberi manfaat dalam membantu mengurangkan beban rakyat miskin dan tidak berkemampuan, mengelak pemohon menunggu kelulusan begitu lama, pelaksanaan efisien dan melalui konsep gotong-royong.

Penulis ingin menarik perhatian semua adakah kaedah tersebut diguna pakai di banyak kawasan?

Adakah penerima yang dipilih merupakan golongan yang benar-benar miskin seperti dihasratkan oleh kerajaan? Sebab itu, pelbagai kritikan wujud disebabkan cara pelaksanaannya yang kurang berkesan.

Bukan semua, tapi ternyata ada sesetengah penerima merupakan ahli parti yang aktif sedangkan ramai anggota masyarakat lain yang lebih daif dan memerlukan, tetapi tidak terpilih.

Kepentingan Sendiri

Nampaknya kepentingan sendiri lebih diutamakan berbanding orang lain yang lebih memerlukan.

Justeru, perkara ini perlu diteliti secara lebih halus sekali gus memerlukan tindakan tegas wakil rakyat agar peruntukan besar yang disediakan kerajaan sampai kepada golongan sasar.

Utamakan mereka yang miskin, utamakan mereka mempunyai rumah usang, utamakan mereka yang ramai dan berhimpit dalam sebuah rumah… supaya ada cahaya dalam hidup mereka.

Jangan jadikan mereka seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Kita juga tidak mahu kerajaan dipandang serong oleh masyarakat semata-mata disebabkan perkara sedemikian.

Bertegaslah! Kalau kita diamanahkan memilih penerima bantuan, maka lakukanlah dengan sejujurnya. Utamakan mereka yang sepatutnya diutamakan, bukannya mengutamakan mereka yang dekat dengan kita.

Kalau kita ingin gembira dan tersenyum, maka mereka yang susah 1,000 kali juga mahu untuk gembira dan tersenyum.

Sebab itu, adakalanya kita perlu memiliki sifat simpati dan empati iaitu meletakkan diri kita di tempat mereka yang susah… bagaimana peritnya dengan rumah yang bocor, tanggungan ramai dan perbelanjaan yang semakin meningkat.

Allah SWT menjanjikan sekiranya kita memudahkan urusan orang lain, Insya-Allah urusan kita juga akan dipermudahkan.

Bersamalah kita renungkan, apabila kita dilantik sebagai ketua dalam masyarakat dan ketua dalam ranting parti… amanah yang diberi hendaklah digalas dengan sebaiknya dengan penuh integriti.

Biarlah bantuan PPRMS Kerajaan Sarawak ini diteruskan sebagai salah satu pendekatan utama pemerintah yang sentiasa prihatin menjaga kesejahteraan dan mendahulukan kebajikan rakyat.

Kumpulan Sasar

Selain salah satu program pembasmian kemiskinan luar bandar dalam memastikan kumpulan sasar (miskin dan miskin tegar) dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih baik.

Menjelang fasa kedua bantuan PPRMS ini kelak, pemilihan golongan sasar yang tepat diharap supaya bantuan yang diberikan sampai seperti diimpikan pucuk kepimpinan kerajaan.

Semoga ada sinar di hujung kelam bagi anggota masyarakat yang tergolong dalam kumpulan yang susah.

Begitu juga dengan skop kerja, walaupun ia dicadangkan secara bergotong-royong tetapi aspek kualiti tidak harus dipandang remeh. Katakan tidak kepada ‘asalkan siap’.

Kita tidak mahu projek kerajaan diistilahkan orang kampung seperti ‘pulang hari’ iaitu tidak bertahan lama. Selain itu memenuhi yang diperlukan oleh si penerima.

Penulis yakin, Kerajaan Sarawak pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meneruskan inisiatif ini pada masa akan datang sekiranya ia ternyata sampai kepada golongan miskin yang disasarkan.

Sesungguhnya, ia membuktikan keprihatinan Kerajaan Sarawak membangunkan masyarakat yang miskin demi kesejahteraan bersama. Seperkara lagi yang harus diberikan perhatian, ada dalam kalangan penerima bantuan merupakan individu yang pernah menerima bantuan lain sebelum ini.

Misalnya, sebelum ini menerima bantuan daripada pihak perikanan (nelayan), tahun seterusnya bantuan itu, tahun ini bantuan ini… sehingga rumah individu tersebut cantik dan lengkap.

Sedangkan, masih ramai yang tidak pernah menerima bantuan yang masih terkapai menunggu. Adakalanya umpama menunggu sungai tidak berhulu sehingga golongan ini dibiarkan melopong.

Adakah adil? Adakah wajar? Adakah begitu yang diharapkan kerajaan? Tepuk dada tanya selera. Sebab itu, mereka yang diberikan amanah memilih penerima bantuan perlu turun padang menyelidik, menyiasat.

Kalau benar patut dibantu, maka tidak salah. Tetapi kalau sebaliknya, itu urusan kita dengan Yang Maha Esa.

Suara Sarawak