KUCHING: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) berserta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperuntukkan lebih RM18 juta bagi pelbagai program dan bantuan untuk pengendali perniagaan terdiri daripada wanita dan orang kurang upaya (OKU).
Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ini sejajar persetujuan kerjasama antara kementerian itu menerusi agensinya seperti Institut Keusahawanan Nasional (INSKEN), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun), SME Corp dan Perbadanan Nasional Bhd (PNS) dengan KPWKM bagi membantu kumpulan sasar, terutama pada tempoh pemulihan pasca-Covid-19 selain mengembangkan operasi mereka terbabit.
Beliau berkata pemilik perniagaan wanita juga merupakan antara kelompok yang terjejas teruk akibat pandemik berikutan sebahagian besarnya dalam kategori mikro dan tidak rasmi (tidak berdaftar).
Malah, katanya, mereka juga menjalankan perniagaan dalam sektor bukan utama seperti kecantikan, fesyen, pengurusan acara dan perancang perkahwinan.
“Sehubungan itu, Medac dan agensinya gigih memberi bantuan menyeluruh yang dapat menyumbang secara berkesan, bukan hanya bagi pemulihan pasca Covid-19 tetapi juga membantu kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Ini termasuk menawarkan perkhidmatan menyeluruh merangkumi bantuan pembiayaan, pembiayaan mikro, kejurulatihan, latihan dan program kemahiran bagi melahirkan usahawan yang lebih berdaya saing, dinamik serta berdaya tahan,” katanya.
Menurut Wan Junaidi, Medac juga sedang menumpukan usaha membantu perniagaan menjadi lebih digital.
“Covid-19 telah meningkatkan keperluan perniagaan untuk menerima guna dan melaksanakan teknologi.
Hasil kaji selidik kami mendapati perniagaan yang melaksanakan pendigitalan terbukti lebih maju berbanding mereka yang menolak keperluan digital itu,” katanya.
….Untuk berita selanjutnya dapatkan naskhah Suara Sarawak 14 Apr 2021