ARTIKEL

Pele, Ali dan pertempuran di Saratok

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

PARLIMEN P.205 Saratok dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang pasti panas, menarik dan mencuri tumpuan.

Ini kerana sudah hampir pasti, pertarungan hebat berlaku antara penyandang, Datuk Ali Biju dan pencabarnya daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Pelantikan Pele Peter Tinggom, bekas Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sebagai Senator atau Ahli Dewan Negara, yang mengangkat sumpah semalam, bagai sudah terang lagi bersuluh, bahawa beliau ialah calon yang akan bertanding di kerusi itu kelak.

Tiada penganalisis politik dapat menafikan bahawa Pele, 53 tahun, akan mengarak bendera Parti Demokratik Progresif (PDP), salah satu komponen GPS dalam pilihan raya itu kelak.

Justeru, ia bukan sesuatu yang boleh dipandang enteng oleh Ali yang kini menjadi calon tunggal mewakili Parti Pribumi Rakyat Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dari sudut ini, Datuk Seri Tiong King Sing bertindak bijak kerana sudah menamakan calonnya lebih awal, biarpun tidak secara langsung.

Pelantikan senator bagi Pele — yang namanya diilhamkan daripada legenda bola sepak terkenal dunia, yang berasal dari Brazil; Edson Arantes do Nascimento atau Pele — akan memberi lesen kepadanya untuk bergerak di segenap pelosok Parlimen Saratok.

Biarpun tidak aktif politik sebelum ini, kawasan ini bukan asing bagi Pele. Ini kerana beliau merupakan anak jati Saratok.

Beliau membesar di Bilik No.1, Rumah Katol, di Krangan Saratok. Darah politik Pele malah mengalir daripada bapanya, Datuk Seri Peter Tinggom Kamarau yang merupakan bekas ahli parlimen kawasan tersebut, dan pernah menjadi Timbalan Menteri di Kabinet Pusat.

Peter Tinggom merupakan penjawat awam terkenal, terutama dalam kalangan masyarakat Dayak sebelum menyertai politik.

Malah beliau begitu akrab dengan Tun Jugah anak Barieng ketika berkhidmat di Kapit, dan ini termasuk dalam mengendalikan soal penubuhan Malaysia. 

Selepas bersara, Peter kemudian disunting Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) untuk menjadi calon bagi menggantikan Datuk Seri Edmund Langgu Saga, bekas Setiausaha Agung SNAP yang bertukar menjadi calon Bebas setelah tidak dicalonkan semula.

Dalam saingan pada tahun 1986 itu, Peter memenangi saingan tiga penjuru dengan majoriti 728 undi. Peter kemudian bertanding sebanyak tiga kali lagi; termasuk mewakili parti SPDP (parti asal PDP) ketika berpisah daripada SNAP pada tahun 2001.

Beliau malah dilantik Timbalan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat pada 1995 hingga parlimen dibubarkan pada 1999. 

Tokoh politik yang amat disegani dalam kalangan masyarakat Iban ini meninggal dunia pada 15 Mac 2007 pada usia 83 tahun. 

Justeru mengisi kasut besar bapanya bukan tugas yang mudah bagi Pele.

Namun beliau beruntung dapat melihat bagaimana bapanya melayan kerenah rakyat dan penyokongnya.

Secara jelas, beliau juga mewarisi bakat dan perwatakan bapanya yang tenang dan berpengalaman.

Ali sudah pasti tidak boleh memandang enteng kepada Pele, yang mungkin sahaja menjadi sahabatnya sebelum ini di DUN Sarawak; ketika Ali masih menjadi ADUN Krian.

Lulusan undang-undang daripada Anglia Ruskin University, United Kingdom dan penerima Diploma Pengurusan Eksekutif daripada University of Western Australia ini seorang yang cukup berpengalaman dalam pentadbiran awam negeri.

Beliau yang pernah menjadi broker dan remisier saham sebagai kerjaya awalnya, bermula sebagai pegawai di Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri dan DUN Sarawak untuk hampir 17 tahun, sebelum menjawat Pegawai Eksekutif Kanan di Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), dengan peranan rencam dari sudut pengurusan, undangundang dan pemantauan projek.

Pada tahun 2011, beliau dilantik sebagai Timbalan Setiausaha DUN sebelum pada 2015, menerima lantikan sebagai Pegawai Khas kepada Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri; dengan peranan sebagai Penasihat Undang-Undang dan Ahli Strategi Komunikasi Media.

Pada 2019, Pele kembali ke Kuching dan menggalas peranan sebagai Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan di Kementerian Utiliti.

Setahun kemudian beliau dilantik sebagai Setiausaha DUN Sarawak, satu jawatan penting untuk memastikan kelancaran perjalanan demokrasi di Sarawak.

Dengan portfolio yang pelbagai ini, sudah pasti beliau melangkah ke dalam politik dengan tangan berisi dan tidak kosong.

Seperti bapanya, pengalaman dalam perkhidmatan awam sudah pasti amat membantu.

Pun begitu, beliau tidak boleh memandang sepi pengaruh besar Ali, 56 tahun, yang kini memasuki penggal keduanya di Parlimen Saratok.

Bekas Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli dengan latar pendidikan dalam bidang kejuruteraan awam dari Valpraiso University, Amerika Syarikat ini jelas amat disayangi kerana sikap dan perwatakannya.

Kerana itu, beliau mampu memenangi saingan pada pilihan raya umum lalu, biarpun semua kerusi DUN ketika itu ditakluki oleh GPS.

Ini membuktikan Pele perlu turun padang lebih kerap dan tidak membuang masa.

Tiga tahun untuk beraksi adalah tempoh yang amat singkat, dan beliau harus bijak menggunakan sumber yang ada untuk memperkenalkan diri kepada rakyat di kawasan tersebut.

Berbekalkan semangat politik dan kenangan manis kepada bapanya adalah tidak relevan dalam konteks generasi baharu kini, kerana rakyat di Saratok semakin berpendidikan, bijak dan mampu membuat pilihan sendiri.

Justeru Pele perlu membuktikan secara jelas bahawa beliau “pemain terbaik” dalam bidang politik di kawasan itu, dan mampu menjuarai apa sahaja saingan, dengan kelebihan berada di bawah kibaran bendera kerajaan yang memerintah.

Sudah pasti keadaan ini akan memberi sedikit tekanan kepada Ali — yang sebelum ini dilihat sebagai pemain pertahanan yang bukan sahaja kental, malah liat untuk dikalahkan.

Namun yang pasti, mungkin 46,000 ke 48,000 pengundi berdaftar di Parlimen Saratok pada masa itu kelak pasti teruja kerana menyaksikan dua calon yang tiada beza umur, tetapi memiliki latar yang menarik bersaing untuk menjadi wakil mereka.

Dan selepas ini, sudah pasti mereka akan gembira, kerana perkhidmatan kedua-dua mereka untuk penduduk Saratok akan menjadi lebih agresif.

Yang pasti, untuk tiga tahun ini, kedua-duanya telah berada di Parlimen, dan sudah pasti akan membawa lebih nyaring suara rakyat Saratok — bagi membuktikan mereka pemberi khidmat terbaik kepada rakyat di kawasan itu.

Ali akan berpegang kepada karismanya sedia ada, dan Pele harus bijak membina karisma sendiri, jauh daripada bayangan bapanya.

• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media Sarawak

BERITA LAIN

Tradisi Aidilfitri yang hilang

TIDAK dapat dinafikan semakin moden dan membangun sesebuah negara, maka semakin terkorban tradisinya. Malah semakin berkembang teknologi, maka semakin tersisih budaya yang pernah menjadi pegangan

Kosong-kosong

ESOK, umat Islam seluruh Malaysia akan meraikan Hari Raya Aidilfitri. Maka berakhirlah perjuangan sebulan Ramadan. Syawal tiba sebagai hadiah kepada umat Islam yang berjaya menempuh

Lempar batu, sembunyi tangan

APAKAH yang mengecewakan anda sebagai rakyat Malaysia ketika ini? Adakah pertumbuhan ekonomi yang perlahan, pendapatan yang rendah, peningkatan inflasi atau kos sara hidup yang tinggi? Atau

Resolusi 2728

KETIKA Dewan Keselamatan PBB menyetujui resolusi menuntut gencatan senjata segera dikuat kuasa di Gaza, lebih 33,000 rakyat Palestin sudah pun terbunuh dengan hampir 76,000 cedera

Jangan mudah tergoda

TINGGAL beberapa hari lagi, umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Pusat beli-belah kini menjadi tumpuan. Suasana juga begitu sibuk. Setiap tahun kita dapat lihat

Hidup ini keras

PADA pagi Rabu, saya menempah tukang bersih rumah yang diperkenalkan oleh sahabat. Seorang ibu tunggal berusia 34 tahun dan anak perempuan berusia 14 tahun. Apabila

BERITA TERBARU

Umat Islam puasa Ramadan dua kali pada tahun 2030

Kalendar Hijriah Islam dihitung berdasar putaran bulan, manakala kalendar Gregorian atau Masehi dikira berdasar perjalanan bumi mengelilingi matahari. Justeru, ini menyebabkan umat Muslim berpuasa 36