KUCHING: Lebuh Raya Pesisir Utara sepanjang 86 kilometer merupakan pelengkap kepada Lebuh Raya Pan Borneo yang menghubungkan rangkaian jalan raya Sarawak secara keseluruhannya, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Menurutnya, lebuh raya itu sebahagian daripada Lebuh Raya Pan Borneo yang dibatalkan Kerajaan Pakatan Harapan namun diteruskan oleh Kerajaan Sarawak menerusi Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) di bawah Recoda.
“Lebuh raya ini amat penting untuk menyediakan rangkaian jalan raya yang efisien di kawasan utara kerana berhampiran dengan Brunei, Sabah dan Indonesia.
“Jarak jalan raya ini lebih pendek untuk menghubungkan Miri-Maru di Mulu ke Limbang dan Gunung Buda sehingga ke Lawas di bawah Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan majlis penutupan Makmal Penilaian Lebuh Raya Pesisir Utara di Pusat Konvensyen Penview di Demak di sini semalam.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Industri dan Pembangunan Usahawan itu menambah, rangkaian lebuh raya turut menghubungkan Lawas ke Long Semado, Ba’kelalan dan Bario.
Katanya, lebuh raya ini akan meningkatkan perdagangan dan pelaburan rantau BIMP-EAGA sekali gus melonjak ekonomi setempat yang akhirnya memberi manfaat kepada rakyat.
Malah, tambahnya penempatan semula ibu kota Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan akan memberi impak besar terutama perdagangan rentas sempadan yang melibatkan Sarawak.
“Ini dapat merapatkan jaringan ke pembangunan baharu seperti industri minyak dan gas di pesisir pantai di Limbang yang kini masih dalam kajian dan cadangan kilang minyak di Lawas.
“Kerajaan Sarawak turut merancang mengembangkan minyak dan gas ke industri hiliran khususnya budang petrokimia serta penapisan petroleum dan gas di Lawas,” jelasnya.
Katanya lagi, ia pasti menarik lebih ramai pelabur ke rantau berkenaan sekali gus memberi kesan sosioekonomi yang signifikan kepada Sarawak terutamanya di wilayah utara.
Tegasnya, ia bakal mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini dan menarik lebih banyak industri lain.
Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua menambah, pembinaan lebuh raya itu mengambil masa 48 bulan untuk disiapkan apabila Maltimur Resources Sdn Bhd (MRSB) dilantik sebagai Konsultan Pengurusan Projek (PMC).
Beliau memberitahu, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM1.5 bilion kepada NRDA untuk melaksanakan 165 projek termasuk lapangan terbang baharu Lawas yang menyediakan pengangkutan udara lebih berkesan.
“Dengan Lebuh Raya Pesisir Utara dan pengangkutan udara, ia akan memajukan industri pertanian dan pelancongan di kawasan pedalaman Sarawak.
“Limbang contohnya merupakan destinasi kunjungan dalam kalangan rakyat Brunei yang popular dengan mandian lumpur gunung berapi,” ujarnya.