Pelihara hutan demi rakyat

SERIAN: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) komited menjaga dan memelihara hutan untuk kepentingan rakyat di negeri ini.

Program Restorasi Landskap Hutan bertujuan untuk mengatasi masalah kemerosotan kawasan tersebut kerana pembangunan yang terpaksa dilakukan.

Pengarah Hutan Sarawak Hamden Mohammad berkata, program tersebut dijalankan untuk mengembalikan semula integriti ekosistem hutan dan meningkatkan kesejahteraan landskap kawasan hutan yang terosot.

Menurutnya, konsep pelaksanaan program restorasi hari ini amat menyeluruh dan ia merupakan hasil perbincangan di Forum Restorasi Hutan Sarawak pada Mac 2017.

“JHS membangunkan semula tiga tapak semaian pokok hutan iaitu di Sabal Agroforestry Centre, Sarawak Tree Improvement Centre di Jalan Oya Sibu dan di Pusat Penyelidikan Hutan Niah, Miri.

“ Kini, kita telah mempunyai lebih kurang 300,000 anak pokok daripada pelbagai spesies tempatan yang sedia untuk menjayakan program-program atau kempen-kempen penanaman pokok termasuk diagihkan kepada pihak-pihak yang memerlukan bagi menjayakan program restorasi ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Majlis Pelancaran Program Restorasi Landskap Hutan Sarawak 2019 di sini, semalam.

Tambahnya, pihak JHS telah melaksanakan program tersebut di seluruh Sarawak dengan kerjasama semua pihak termasuk NGO dan komuniti setempat.

“Sejak tahun 1990 hingga kini, 634 juta pokok ditanam di seluruh Sarawak dan aktiviti penanaman pokok turut melaksanakan program-program outreach bertujuan mempromosikan kepentingan penjagaan alam sekitar dan menghijaukan bumi.

“Menurut kajian, sebatang pokok yang matang mampu membekalkan oksigen untuk keperluan empat orang dewasa dan kita amat bertuah kerana tinggal di negeri yang mempunyai banyak pokok dan hutan yang luas,” katanya.

Beliau menyatakan bahawa selain daripada sumber air, program tersebut mungkin akan menjadi satu lagi potensi pendapatan di negeri ini kerana mempunyai bilangan pokok yang banyak serta hutan yang luas iaitu udara segar botol daripada “Borneo”.

Turut diadakan semalam ialah majlis menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan dengan pemeliharaan dan penjagaan alam sekitar di Sarawak antara Jabatan Hutan Sarawak dengan pelbagai pihak seperti SHELL Berhad, Sarawak Energy Berhad dan Japan-Malaysia Association.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada agenda bagi memeriahkan sambutan ulang tahun keseratus penubuhan JHS, tahun ini.

Suara Sarawak