Pelitup muka elitup muka Tahun Baharu Cina

KUCHING: Penerapan kebiasaan baharu seperti pemakaian pelitup separuh muka semakin diterima oleh masyarakat termasuk menjelang perayaan Tahun Baharu Cina.

Ini terutamanya apabila terdapat pelitup separuh muka yang dikeluarkan dalam pelbagai corak untuk memeriahkan suasana perayaan mengikut kelaziman baharu.

Tinjauan Suara Sarawak mendapati, salah sebuah kedai Max & Match di sini menjual pelitup muka dengan pelbagai corak dengan motif Tahun Baharu Cina.

Pemiliknya Angie Bong berkata, penjualan pelitup separuh muka itu mendapat sambutan daripada pelanggan yang ingin memakai pelitup muka bercorak.

“Bagaimanapun, disebabkan sekarang kita masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pelanggan hanya membeli dalam kuantiti sedikit.

“Ini juga berkemungkinan mereka jarang keluar dan tiada keperluan untuk pemakaian pelitup separuh muka bercorak,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Selain pelitup separuh muka, kedai Max & Match yang terletak pusat beli-belah Plaza Merdeka di sini turut menjual pakaian bertema.

Ketika ditanya mengenai jualan pakaian bertema, Angie memberitahu jualan pakaian bertema Tahun Baharu Cina kali ini sedikit kurang berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, ia berkemungkinan susulan penularan wabak Covid-19 yang berlaku di seluruh negara sehingga mengehadkan perayaan itu diraikan dengan meriah.

“Bukan itu sahaja, tahun ini juga tiada sambutan besarbesaran Tahun Baharu Cina seperti tahun sebelumnya.

“Sebelum ini, memang ada agensi atau jabatan yang membeli pakaian bertema apabila menjelang sambutan Tahun Baharu Cina,” jelasnya.

Sambutan Tahun Baharu Cina 2021 akan disambut pada 12 dan 13 Februari ini.

Suara Sarawak