Peluang eratkan hubungan keluarga

SRI AMAN: Perintah larangan keluar masuk terutamanya di kawasan rumah panjang perlu dilihat dari sudut positif, kata Adun Simanggang Datuk Francis Harden Hollis.

Beliau berkata, walaupun simpati dengan nasib yang menimpa penduduk rumah panjang yang dikenakan perintah larangan keluar masuk bagi mengekang penularan wabak Covid-19, mereka perlu mengambil peluang itu untuk mendekatkan perhubungan kekeluargaan.

“Selain berusaha untuk memutuskan rantaian Covid-19, penduduk perlu menggunakan masa terluang itu untuk mengeratkan institusi kekeluargaan,” katanya selepas menyerahkan bantuan makanan kepada beberapa rumah panjang di sekitar bahagian Sri Aman pada Sabtu lalu.

Menurut Harden, beliau sedia maklum dengan keadaan penduduk rumah panjang yang tidak dibenarkan keluar dan penduduk dari luar tidak dibenarkan masuk dalam tempoh 14 hari.

“Keadaan itu menyukarkan pergerakan penduduk rumah panjang untuk mencari rezeki,” jelasnya. Justeru, atas rasa tanggungjawab dan sebagai bekalan tambahan untuk meringankan beban penduduk di kawasan rumah panjang, beliau serta Pusat Khidmat Masyarakat Adun Simanggang serta beberapa pertubuhan lain menyumbangkan bantuan makanan kepada penduduk yang terlibat.

Seramai 12 keluarga dari Rumah Lang, Sungai Putong, Ulu Paku, Undop di sini menerima bantuan makanan daripada Pusat Khidmat Masyarakat Adun Simanggang dan mereka telah menghabiskan tempoh perintah larangan keluar masuk selama 14 hari.

Pada hari yang sama, Harden turut menyerahkan bantuan makanan yang disumbangkan oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Lingga seperti daging basah dan makanan kering kepada 49 keluarga di Rumah Ayai, Kampung Putat di sini.

Penyerahan bantuan itu disampaikan oleh Harden kepada Tuai Rumah Ayai Jabu yang mewakili penduduk kampung Putat dan turut disaksikan oleh Pengerusi SUPP Cawangan Lingga Cr Waterkiller James Junit serta ahli yang lain.