Peluang Kuching City juara

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

TAHNIAH buat barisan pemain, jurulatih dan pegawai skuad Kuching City FC (KCFC), atas kejayaan mara ke perlawanan akhir Piala Cabaran 2023. Seperti nama pertandingan, ia cukup mencabar bagi KCFC, kerana menentang dua lawan handal di peringkat suku akhir (Kedah FC) dan separuh akhir (Kelantan United).

KCFC mengalahkan Kedah 1-0 di Kuching dan menang bergaya 3-0 di gelanggang lawan.

KCFC mengatasi Kelantan United 2-0 di tempat lawan setelah terikat 1-1 di tempat sendiri. KCFC akan menentang PDRM FC bagi merebut trofi juara pada 29 November ini dan 3 Disember.

Perlawanan akhir diadakan secara timbal balik, di tempat sendiri dan di gelanggang lawan.

Sebagai pasukan di tangga kedua tercorot Liga Super 2023, layak ke pentas final merupakan sesuatu yang cukup menggembirakan bagi KCFC. Walaupun Piala Cabaran yang diperkenal pada 2018 hanyalah kejohanan kelas kedua, selepas tiga kejohanan elit, Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA, namun ia tetap membawa makna tersendiri.

Pertandingan tetap pertandingan walaupun statusnya bukan kelas pertama.

Piala Cabaran adalah khas untuk pasukan yang kandas di peringkat awal Piala Malaysia. Sebagai kelab yang julung kali menyertai Liga Super, pengalaman lebih banyak kalah daripada menang, cukup berharga bagi KCFC.

Lebih bermakna apabila berpeluang menentang pasukan ‘bangsawan’ Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sebaris kelab handal Asia.

Malah bersemuka dengan pasukan seperti Terengganu, Selangor, Pahang, Sabah, KL City dan Kedah memberi motivasi untuk tampil lebih kuat musim depan. Yang pasti, kejayaan KCFC setakat ini banyak dipengaruhi jurulatih, Aidil Sharin Sahak, yang bijak mencatur strategi dan mencetuskan motivasi buat pemain.

Sejak mengambil alih kerusi panas daripada Irfan Bakti awal Ogos lalu, jurulatih dari Singapura itu kelihatan tenang menghadapi ‘gelora prestasi’ pasukan yang tidak menentu.

Beliau sedar, dengan kemampuan barisan pemain yang dianggap Irfan sukar untuk menyaingi pasukan dari Semenanjung serta Sabah.

Namun dengan pengalaman serta sokongan padu panel pengurusan, beliau berjaya mentransformasikan KCFC, sehingga dua, tiga langkah ke hadapan.

Beliau menerapkan corak permainan menarik, tetap “menggempur hebat” sebagai misi utama tanpa mengambil kira status pasukan lawan. Ternyata senjata ini berhasil apabila menjadikan Kedah FC sebagai salah satu nama besar yang menjadi mangsa.

Berikan Aidil masa… dua atau tiga tahun lagi, pasti ada sesuatu yang lebih besar akan dicapai. Apa yang dilakukannya untuk Kedah sebelum ini, juara Piala FA dan ke final Piala Malaysia juga boleh ‘dipindahkan’ ke pangkuan KCFC.

Aidil pernah menyertai kelab ternama Liga Indonesia, Persikabo 1973, selepas meninggalkan Kedah pada penghujung musim 2022.

Beliau juga mendedahkan, bersaing dengan 13 jurulatih ternama dari beberapa negara, termasuk dua jurulatih elit di Indonesia untuk membimbing kelab ternama Indonesia, Persib Bandung yang kini dipimpin oleh, Bojan Hodak (bekas jurulatih KL City).

Sebelum ini Aidil turut menjadi rebutan empat pasukan Liga Super. Bekas pemain kebangsaan Singapura itu, bukanlah calangcalang, kerana pernah ‘menjuarakan’ Kedah dalam Piala FA 2019, dan ke final Piala Malaysia 2020.

Beliau dikatakan sebagai jurulatih era generasi baharu yang pintar memerangkap lawan dan bijak dalam pemilihan pemain.

Hakikatnya pengembaraan KCFC dalam Liga Malaysia sejak 2017, bermula sebagai kelab amatur dengan nama Kuching FA, agak menarik.

Bekas pemain Malaysia, Selangor, Terengganu dan Sarawak, Joseph Kallang Tie yang menyertai KCFC pada 2019 pernah menyatakan; “Saya menerima tawaran KCFC kerana pasukan ini mempunyai misi dan visi yang jelas… jadi sudah pasti saya mahu membantu mereka layak ke Liga Perdana dan seterusnya ke Liga Super.”

Apa yang dikatakan Joseph empat tahun yang lalu itu kini menjadi kenyataan.

Di bawah pengurusan Fazzruddin Abdul Rahman selaku presiden, KCFC boleh dikatakan sebagai penyelamat bola sepak Bumi Kenyalang ketika pasukan negeri yang menggunakan nama Sarawak United FC ‘lenyap’ dari peta Liga Super.

Walaupun bukan semua peminat di Sarawak tidak seghairah seperti menyokong pasukan Sarawak suatu ketika dahulu, tetapi kehadiran KCFC ke kencah liga elit juga adalah pemegang “bendera Sarawak”, sekurang-kurangnya ada pasukan untuk pemain tempatan berbakat berpaut.

Yang pasti, kejayaan awal ini harus menjadi perintis KCFC untuk melakar kejayaan yang lebih lagi pada masa akan datang. Walaupun berada dalam kelompok bawahan Liga Super 2023, namun KCFC dijangka akan terus kekal beraksi dalam Liga Super 2024. Ia merupakan berita baik buat KCFC, yang akan menambah baik pasukan bagi mengharungi musim 2024.

Menurut sumber, KCFC mungkin akan menambat “anak Sarawak” yang berkelana di Semenanjung, Rodney Calvin, yang telah pun meninggalkan pasukan Kedah FC.

Pemain kacukan Bidayuh-Ghana itu juga pernah bersama Selangor sebelum ini. Beliau yang lebih mesra disapa sebagai Bonai itu juga pernah bersama Aidil ketika menyarung jersi pasukan Kedah secara pinjaman pada 2021, dan tampil sebagai watak penting skuad hijau kuning itu.

Dua lagi pemain lokal Sarawak yang beraksi di Semenanjung sekarang ini ialah Nur Shamie Iszuan (Pahang FC) dan Tommy Mawat (Negeri Sembilan). Hakikatnya semoga kejayaan KCFC ini akan menjadi inspirasi kepada pasukan negeri (Sarawak) bangkit musim depan.

Tanpa memperkecil kemunculan KCFC, pasukan utama Sarawak mesti ada dalam saingan Liga Super pada masa akan datang. Ia kerana pasukan Sarawak adalah cerminan skuad utama, atas nama negeri, sebagaimana pasukan yang menjuarai Liga Perdana 1997 & 2013, serta skuad juara Piala FA 1992, juara Piala Sumbangsih 1998 dan finalis Piala Malaysia 1999.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Nilai satu undi

“ SIAPA yang akan menang” bukan lagi persoalan yang perlu

Lain-lain

Pimpinlah tanganku

BAGI anda kepimpinan itu seperti apa? Saya menganggap ia tanggungjawab