PENOLONG Jurulatih Kuching FA, Shahrizan Sahari menegaskan, tempoh rehat yang agak panjang dilalui pasukan dilihat peluang terbaik memantapkan segenap posisi yang ada.
Beliau kini memberi dua tumpuan iaitu aksi terakhir kempen Liga Premier 2020 menentang Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 31 Oktober ini.
Selain itu, persiapan menghadapi kempen Piala Malaysia 2020 yang akan bermula 6, 7 dan 8 November depan. “Latihan berjalan seperti biasa mengikut jadual.
Fokus kita cuba memperkemaskan segenap posisi untuk menghadapi dua perlawanan penting. “Menentang Kuala Lumpur untuk aksi terakhir kempen Liga Premier 2020 selain saingan Piala Malaysia 2020,” katanya kepada Suara Sarawak baru-baru ini.
Menurut Shahrizan, perlawanan terakhir menentang warga kota (Kuala Lumpur) dilihat sebagai pelengkap jadual dalam keadaan The City Boys yang sudahpun layak bersaing dalam kancah piala berprestij itu.
Katanya, kemenangan tetap menjadi buruan sekalipun pada perlawanan itu kelak beliau terpaksa mengetengahkan kelibat pemain simpanan kerana beberapa bintang utama yang digantung perlawanan.
“Semua ini tidak menimbulkan rasa gundah, kerana pemain simpanan yang diturunkan kelak mampu memberikan persembahan terbaik,” jelas Shahrizan lagi.
Dalam pada itu, Shahrizan memberitahu, pihaknya turut meningkatkan fokus terhadap pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) berikutan berlakunya peningkatan jangkitan virus Covid-19 baru-baru ini.