Peluang masyarakat pulihara maritim

MIRI: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan Petronas melancarkan Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) untuk Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti dengan penglibatan Renjer Hidupan Liar Kehormat setempat di sini, semalam.

Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Jaul Samion berkata, program itu penting untuk mengekalkan hasil laut demi generasi akan datang.

“Program CEPA ini amat penting kerana ia juga melibatkan masyarakat setempat.

“Matlamat CEPA tidak akan tercapai tanpa penglibatan masyarakat setempat dalam pengekalan hidupan maritim,” katanya pada pelancaran Program CEPA di Pasar Ikan Batu 1, Lutong, Baram di sini, semalam.

Sementara itu, Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SFC Zolkipli Mohamad Aton, Program CEPA bertujuan mendidik dan mewujudkan kesedaran dalam diri masyarakat tempatan untuk memahami kepentingan pemuliharaan ekosistem serta hidupan liar. Beliau menambah, ia sejajar dengan pendekatan ‘penglibatan masyarakat’ dalam mengurus kawasan yang dilindungi.

“Misalnya, di Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti, Renjer Hidupan Liar Kehormat dilantik daripada kalangan masyarakat setempat dan pihak berkepentingan yang dilatih untuk bertanggungjawab terhadap program ini.

“Ini memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk secara aktif mengambil bahagian dalam aktiviti pemuliharaan,” ujarnya.

Program ini merupakan komponen akhir Projek Pemuliharaan Eco-Marine Petronas-Sarawak di Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti. Selama lima tahun, Petronas memainkan peranan menyediakan bantuan kewangan di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat untuk SFC melaksanakan projek itu sejak 2015.

Acara kemuncak pada pelancaran program termasuk ceramah kesedaran mengenai pemuliharaan, pameran dan penanaman pokok untuk beri kesedaran alam sekitar serta peluang sukarela bagi masyarakat setempat. Turut hadir Adun Piasau Datuk Sebastian Ting, Datuk Bandar Miri Adam Yii dan Pengurus Besar Petronas Sarawak Zulaihi Mantali.

Suara Sarawak