Peluang rebut hadiah lumayan di kejohanan dart di Mukah

MUKAH: Orang ramai dipelawa untuk menyertai Kejohanan Dart Beregu Terbuka Mukah, Piala Gabungan Parti Sarawak (GPS) Adun N57 Tellian yang diadakan bersempena dengan Majlis Berambeh Krismas 2019 dan Sambutan Pra Tahun Baru 2020 pada 28 hingga 29 Disember ini.

Kejohanan Dart Beregu Terbuka anjuran Biro Sukan JKKK Kampung Tellian Tengah Mukah dengan kerjasama kelas Maju Darters, KRT Zon I dan Zon II Kampung Tellian Tengah Mukah itu bakal diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Tellian Mukah.

Menurut Penyelaras Kejohanan, Alexander Morshidi objektif utama kejohanan tersebut ialah untuk melahirkan pemain dart dalam kalangan belia di Kampung Tellian Tengah Mukah khususnya dan di bahagian Mukah amnya.

“Melalui kejohanan ini kita juga mahu mengeratkan lagi hubungan sesama belia di Kampung Tellian dan sekitar Mukah,” katanya kepada Suara Sarawak.

Bagi kejohanan tersebut jelasnya jumlah penyertaan terbuka kepada 48 pasukan dan format pertandingan ialah 501, iaitu Round Robin dan Knock Out untuk tempat pertama hingga ketiga dan Final untuk tempat pertama dan kelima.

“Syarat yang perlu dipatuhi peserta ialah peserta tidak boleh menggunakan selipar, tidak boleh bertopi, tidak boleh berseluar pendek, tidak menggunakan baju t-shirt berkepala bulat, tidak boleh merokok dan tidak berada dibawah pengaruh alkohol.

“Johan untuk pertandingan ini akan menerima RM700, trofi dan medal, manakala untuk naib johan akan membawa pulang RM400, trofi dan medal, tempat ketiga dan keempat akan menerima RM200, trofi dan medal manakala tempat kelima hingga kelapan akan menerima RM50 dan medal,” katanya.

Bagi tempat kesembilan hingga keenam belas pula peserta akan menerima medal kejohanan ujarnya.

Jelasnya lagi yuran untuk kejohanan tersebut ialah RM50 untuk satu pasukan dan tarikh tutup penyertaan serta cabutan undi ialah pada 27 Disember jam 3 petang di Dewan Serbaguna Kampung Tellian Tengah.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut dan ingin menyertai kejohanan ini, mereka boleh menghubungi Alexander di 010-7727721.

Alexander Morshidi

 

DART PIALA GPS ADUN TELLIAN … Alexander bergambar bersama dengan Ketua Kampung Bonaventure Juana Lupuih dan Kaunselor Felix Peing selepas membincangkan penganjuran kejohanan Dart Piala GPS ADUN TELLIAN semalam.