
KUCHING: Sarawak dan Sabah mempunyai peluang baik untuk mendapatkan semula hak menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan.
Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang berkata, kedua-dua buah negeri ini akan dapatkan semula MA63 seperti yang telah ditentukan dan ditunaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya melihat cara Datuk Seri (Anwar) agak baik dalam mengendalikan perkara ini. Memang ada harapan bagi saya di bawah pimpinan beliau.
“Perdana menteri kita mempunyai prinsip yang baik menjadikan harapan untuk mengembalikan hak MA63 lebih cerah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) oleh Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) di Ibu Pejabat SUPP, di sini, hari ini.
Justeru, beliau menyeru orang ramai untuk mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Setiap individu perlu bersama-sama menjaga hubungan baik antara satu sama lain, jangan ada berlaku perpecahan.
Jelasnya, bergabung bersama-sama di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menjadi kukuh dan kuat supaya Premier Sarawak dapat terus berunding dengan perdana menteri.
“Kita berkawan baik dan cuba berunding agar semua hak dalam MA63 dipulangkan kepada Sabah dan Sarawak, ini yang penting,” jelasnya.
Tambahnya, perdana menteri ketika melawat di negeri ini meluahkan harapan agar Sarawak bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan.
“Sarawak sudah bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dan ia dalam keadaan yang baik.
“Kita satu negara Malaysia dan politik mesti stabil. Oleh itu, kerjasama ini penting untuk menentukan politik yang stabil,” ujarnya.