Peluang seimbang Oya FC, Jourdania

OYA FC atau Jourdania akan ke final Kejohanan Bola Sepak MuFA Piala Dun Tellian 2019/2020?

Kedua-duanya akan turun berentap dalam aksi separuh akhir pada jam 3 petang Rabu ini.

Berdasarkan prestasi dan pemain yang dimiliki Oya FC dan Jourdania mempunyai peluang yang seimbang.

Mereka bukan sahaja dibarisi pemain muda bertenaga, tetapi juga pemain berpengalaman yang mungkin akan menjadi penentu.

Bagi Jourdania, mereka tentunya amat mengharapkan kepakaran penjaga gol veteran, Jafar Razmi, 55.

Kehadiran Jafar bukan sahaja mengukuhkan benteng terakhir, tetapi juga dari segi pengawalan permainan dan motivasi untuk pemain muda.

Bagi Oya FC pula, mereka mengharapkan pengalaman bekas pemain Sarawak, Ejal Sahari untuk mengemudi serangan dan mengatur permainan.

Ada kemungkinan perlawanan petang ini akan berlanjutan hingga ke masa tambahan atau penentuan sepakan penalti.

Jika ia ditentukan melalui sepakan penalti, Jourdania dilihat mempunyai kelebihan.

Dijangkakan sekitar 2,000 penonton akan membanjiri Padang Mesra MDDM Mukah petang ini, terutama dari Oya dan Kampung Judan.

OYA FC… Siap sedia buru slot final.