ARTIKEL

MASKOT SUKMA 2024… Burung Kenyalang, Satria dan Satrina menjadi maskot SUKMA 2024 yang akan berlangsung di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos depan.

Peluang terbaik juara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SEJAK Sukan Malaysia (SUKMA) diperkenal pada 1986, Sarawak tidak menunggu lama untuk membuktikan kejaguhan apabila muncul juara pada 1990 di Kuching.

Malah berjaya mengekalkan gelaran pada 1992 di Johor dan 1994 di Perak.

Ia bermakna, kejayaan 1990, bukan kerana faktor tuan rumah semata-mata.

Pada 1990 Sarawak meraih 44 emas, 17 perak dan 18 gangsa, jauh meninggalkan naib juara, Kuala Lumpur yang mengutip 19 emas, 20 perak dan 24 gangsa.

Pada 1992 Sarawak meraih 36 emas, 27 perak dan 26 gangsa mengatasi naib juara, Johor dengan 26 emas, 21 perak dan 22 gangsa.

Pada 1994 Sarawak meraih 39 emas, 28 perak dan 30 gangsa, berbanding naib juara Kuala Lumpur yang merangkul 31 emas, 39 perak dan 26 gangsa.

Namun anehnya, sejak selepas 1994, tiada lagi gelaran hingga 2022. Sepanjang tempoh 30 tahun itu, sepatutnya Sarawak juara sekurang-kurangnya tiga atau empat kali lagi.

Malah turut terlepas peluang keemasan apabila hanya muncul naib juara pada SUKMA 2016 di Kuching.

Di mana silapnya?

Jika mengambil kira prestasi para atlet, ia tidak menunjukkan perbezaan ketara, apatah lagi Sarawak juga pernah muncul naib juara pada 1988, 1996, 1998, 2000, 2004 dan 2016.

Hanya dipisahkan dengan sedikit pingat emas, berbanding sang juara ketika itu.

Malah dari segi mata atau pungutan pingat secara keseluruhan Sarawak kekal mendahului.

Namun kontinjen juara hanya ditentukan melalui kutipan pingat emas terbanyak.

Dalam kejohanan olahraga, sama ada di peringkat nasional mahupun global, tidak pernah berlaku dua kontinjen meraih kutipan emas yang sama, dan kejuaraan ditentukan melalui pungutan mata.

Jadi, jawapannya mudah, hanya fokus kepada pungutan pingat emas, tetapi ia juga mengambil kira acara, adakah ia benar-benar berpotensi atau sebaliknya, untuk meraih emas.

Misalnya, beberapa acara yang berjaya meraih pingat perak pada SUKMA terdahulu.

Dengan kajian data dari segi pemarkahan pencapaian lalu diiringi usaha berganda, ia boleh ditukarkan kepada pingat emas.

Begitu juga dengan pingat gangsa pada SUKMA lalu, pasti ada atlet Sarawak yang hanya ketinggalan sedikit mata daripada atlet negeri yang yang meraih perak dan emas.

Jadi, situasi ini juga boleh dimanfaatkan untuk meraih emas, melalui strategi, pelan jurulatih dan komitmen atlet. Sasaran emas untuk ibu segala pingat (bola sepak) mungkin kurang realistik kerana kita tidak pernah juara sejak selepas 1990… malah sering kali tersingkir seawal pusingan pertama.

Begitu juga dengan acara pecut.

Namun sebagai tuan rumah, ia memberi perbezaan, yakni kelebihan atas faktor sokongan padu dan keyakinan.

Lihat sahaja skuad bola sepak 1990 yang diterajui Ibrahim Mantali bersama-sama gandingan hebat seperti Louis Jakai, Jafari Ali, Zamaludin Majidi dan Jalong Lejau. Pasukan ini bukan sahaja mantap, tetapi juga mendapat sokongan luar biasa daripada para penyokong.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah optimis, Sarawak berpotensi untuk meraih pencapaian yang lebih baik, berbanding SUKMA 2016 (naib juara).

Ia bermakna, inilah peluang terbaik untuk Sarawak merampas semula mahkota juara.

“Sudah 30 tahun Sarawak tidak muncul juara dalam sukan kebangsaan itu.

Masih terlalu awal untuk menentukan sasaran pingat emas, tetapi saya percaya kita mempunyai peluang yang baik untuk mendapat lebih banyak pingat emas kali ini,” ujarnya. 

“SUKMA 2024 sudah tentu lebih baik berbanding 2016 yang agak tergesa-gesa kerana rombakan Kabinet Negeri dan sebagainya.

“Yang pasti, kali ini kita akan lebih bersedia dan berharap dengan persiapan rapi, kita akan muncul juara kerana kita tidak pernah menjadi juara untuk tempoh 30 tahun,” katanya lagi.

Sepanjang 36 tahun usia SUKMA, sejak 1986 hingga 2022, jika dihimpun semua pingat emas, pencapaian keseluruhan Sarawak ialah naib juara.

Walaupun hanya juara tiga kali sepanjang lebih tiga dekad, Sarawak berjaya meraih kutipan pingat emas kedua tertinggi dengan 743, berbanding satu lagi kuasa besar, Terengganu dengan 502 emas.

Selangor pula meraih 831 emas. Selangor muncul juara sembilan kali, manakala Terengganu lima kali.

Secara keseluruhan Sarawak merangkul 2,192 meraih pingat.

Mengambil kira 22 kontinjen yang bertanding, ia merupakan satu pencapaian yang membanggakan, sesuai dengan reputasi Sarawak, sebagai antara kuasa besar dan ‘pengeluar’ atlet bertaraf dunia.

Yang pasti, kontinjen Sarawak amat sinonim dengan SUKMA.

Jika kita lihat sejarah dan tradisi sukan berprestij negara itu… tidak boleh tidak, Sarawak sentiasa menjadi sebutan.

Oleh itu, jika Sarawak gagal, maka ia adalah sesuatu yang agak mengejutkan.

Ini bermakna, Sarawak sememangnya mempunyai pengaruh dalam SUKMA. Oleh itu, selaku tuan rumah, Sarawak akan menjadi pilihan popular untuk menjuarai SUKMA 2024 nanti.

Sebagai kontinjen yang sudah ada nama, atlet Sarawak sentiasa menjadi pesaing utama atlet dari negeri kuasa besar seperti Selangor, Terengganu dan Johor.

Lagi pula, atlet kita sekarang ini cukup beruntung kerana beberapa idola Malaysia di luar sana ialah atlet kelahiran Bumi Kenyalang.

Tania Bugo dan Watson Nyambek misalnya, merupakan antara nama besar dalam sejarah SUKMA.

Kita juga ada Pandelela Rinong, jaguh terjun negara yang menggegar temasya Sukan Olimpik.

Kita juga ada Sapok Biki (tinju), serta pakar lintar tukur besi, Jackie Wong Siew Cheer dan Grace Wong Xiu Mei.

Malah Sarawak pernah melahirkan Kuda Ditta atau Bala Ditta dari Bario, Lawas, atlet pertama Bumi Kenyalang yang menjejak kaki ke temasya Sukan Olimpik 1964 di Tokyo, Jepun.

Terkini kita ada Kilat Boy atau nama sebenar Daeoloniel Mcdelon, jaguh baharu tinju.

Jadikan mereka ini sebagai sumber inspirasi untuk berjaya, sekali gus mengharumkan nama Sarawak.

Di samping itu, insentif dan ganjaran juga sangat penting bagi atlet yang cemerlang.

Ia bukan sekadar galakan dan cetusan semangat buat mereka, tetapi juga sebagai inspirasi atlet generasi baharu.

Ia penting agar sukan tidak dipandang enteng oleh masyarakat terutama golongan ibu bapa atlet.

Sukan kini sudah pun memasuki era profesional dan mampu memberikan pendapatan lumayan.

Oleh itu, Kerajaan Sarawak turut menjadikan sukan sebagai antara agenda penting, dalam menuju negeri maju pada 2030, selain ekonomi, teknologi, pendidikan, infrastruktur dan pendapatan rakyat.

Sebagai negeri yang pernah melahirkan beberapa nama besar di pentas sukan negara dan dunia, sejak era 60-an, Sarawak terus berusaha untuk melahirkan alet generasi baharu yang mampu bersaing di peringkat tertinggi.

Seperti yang ditegaskan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bahawa potensi atlet di negeri ini, bukan hanya digilap untuk menjadi juara di peringkat negeri atau nasional, tetapi juga di peringkat antarabangsa. 

BERITA LAIN

Tradisi Aidilfitri yang hilang

TIDAK dapat dinafikan semakin moden dan membangun sesebuah negara, maka semakin terkorban tradisinya. Malah semakin berkembang teknologi, maka semakin tersisih budaya yang pernah menjadi pegangan

Kosong-kosong

ESOK, umat Islam seluruh Malaysia akan meraikan Hari Raya Aidilfitri. Maka berakhirlah perjuangan sebulan Ramadan. Syawal tiba sebagai hadiah kepada umat Islam yang berjaya menempuh

Lempar batu, sembunyi tangan

APAKAH yang mengecewakan anda sebagai rakyat Malaysia ketika ini? Adakah pertumbuhan ekonomi yang perlahan, pendapatan yang rendah, peningkatan inflasi atau kos sara hidup yang tinggi? Atau

Resolusi 2728

KETIKA Dewan Keselamatan PBB menyetujui resolusi menuntut gencatan senjata segera dikuat kuasa di Gaza, lebih 33,000 rakyat Palestin sudah pun terbunuh dengan hampir 76,000 cedera

Jangan mudah tergoda

TINGGAL beberapa hari lagi, umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Pusat beli-belah kini menjadi tumpuan. Suasana juga begitu sibuk. Setiap tahun kita dapat lihat

Hidup ini keras

PADA pagi Rabu, saya menempah tukang bersih rumah yang diperkenalkan oleh sahabat. Seorang ibu tunggal berusia 34 tahun dan anak perempuan berusia 14 tahun. Apabila

BERITA TERBARU