Peluru tembusi perut

PELURU penabur senjata api musuh menembusi rusuk kanan dan perut Koperal (B) Kuda Anak Kandawang, menyebabkannya rebah menyembah bumi dan pandangannya gelap.

Berpantang maut sebelum ajal, ketika tubuh sebelah kanannya longlai rebah, anak Iban dari Balingian ini pantas menarik senapang tidak jauh dari kaki kirinya.

“Belum sempat komunis itu menyasar senjata ke arah saya dan kawan saya… entah di mana datang kekuatan, saya mampu melepaskan tembakan ke arah musuh yang berada lima depa dari kami,” katanya yang mula menyertai Pasukan Polis Hutan ketika usia 25 tahun.

Beliau berkata demikian yang ditemu bual Suara Sarawak sambil dibantu penterjemah Hilster Ramba dan Stephanie dari DBP, semalam.

Kuda yang kini berusia 82 tahun memberitahu masih mengingati peristiwa beliau bersama-sama rakan platun yang lain diserang hendap hingga berlaku pertembungan secara terbuka dengan musuh.

Peristiwa bersejarah itu kata Kuda, berlaku pada 12 Februari 1972 ketika bersama-sama rakan platun membuat kawalan perimeter untuk mendirikan khemah sejurus tiba di Tanjung Kuning, Sarikei dengan menaiki dua perahu untuk menyertai Ops Ngayaiu di Lubuk Bulat, Binatang (kini dikenali sebagai Bintangor).

Berkongsi detik hampir kehilangan nyawa, Kuda bercerita, selepas melepaskan tembakan, tubuhnya kembali rebah tetapi sempat disambut rakannya dan dipapah menuju ke arah tiga jasad musuh yang sudah tidak bernyawa.

Ketika melihat jasad musuh, dalam pandangan berpinar Kuda dapat meneliti dua daripadanya lelaki dan seorang wanita masih nyawa-nyawa ikan.

“Induk (wanita) itu tidak mati… tubuhnya tidak masuk peluru… lut peluru,” kata Kuda penuh hairan.

Mengikut cerita rakannya, anggota menjumpai banyak peluru hancur yang telah ditembak disimpan di dalam beg wanita itu.

Sebelum kejadian, Kuda merupakan individu pertama menjumpai dua bom jerangkap samar yang telah menyelamatkan enam anggota platun lain tanpa sebarang kecederaan.

Tembakan dengan peluru tabur komunis mengakibatkan darah tidak berhenti keluar dari rusuk dan perut, namun rakan platun nekad membawanya ke Sibu untuk mendapatkan rawatan.

“Perjalanan dari Binatang (Bintangor) ke Sibu menggunakan bot laju… bayangkan betapa sakitnya saya ketika bot terhempas-hempas ketika melawan arus yang berombak.

“Mati saya tuan! kata saya perlahan kepada Tuan Patrick Bryan yang mengetuai platun ketika itu kerana tekanan bot laju terhempas oleh ombak membuatkan saya kesakitan yang amat,” luahnya.

Menyedari Kuda yang kesakitan, ketua dan dua rakannya mengarahkan mereka bertukar bot dan menggunakan perahu panjang penduduk di sekitar sungai yang mereka lalui.

Ketika di atas perahu, Kuda mampu bertenang menahan sakit tembakan hingga selamat tiba ke Hospital Sibu.

“Yang saya ingat waktu itu, saya ditembak sekitar jam 2.10 petang dan pada 6.00 petang saya dibedah untuk mengeluarkan peluru yang melekat di antara tulang rusuk saya serta penabur pecah dalam perut,” jelasnya.

300 komunis ditangkap

Selepas tiga hari dirawat di Hospital, Kuda membuka mata melihat di sekelilingnya ada Tuan Bryan, rakannya Wan Ali dan beberapa anggota polis yang tidak dikenali.

Sambil berseloroh kata Kuda, rakannya Wan Ali berkali-kali memberitahu,

“Aku jaga kau… rasa jaga Gabenor sedang sakit”.

Kata-kata rakannya itu menggambarkan semasa dia tidak sedarkan diri.

Kuda diberitahui bahawa jururawat menyedari ada tiga komunis menyamar untuk mencari anggota yang cedera ketika Ops Ngayiau.

Mereka datang ke hospital untuk membunuh Kuda, namun tindakan anggota Parti Komunis Kalimantan Utara itu ujar Kuda berjaya dipatahkan apabila jururawat berkenaan menghubungi Kem Polis Lanang, Kemudian, kerahan keselamatan secara aktif dikuat kuasa serta-merta bagi memastikan tiada komunis menyamar sebagai orang biasa masuk ke kawasan hospital.

“Mereka (komunis) tidak putus asa mencari saya.

Beberapa hari selepas itu, Kem Polis Lanang pula diceroboh apabila kawat berduri diputuskan oleh komunis untuk membuat persediaan menyerang,” jelasnya.

Langkah pihak polis jelas Kuda lebih pantas apabila mengetahui gerakan komunis itu dan akhirnya membawa kepada pembongkaran besar-besaran modus operandi mereka di Sibu.

“Hasrat mereka ingin membunuh saya tetapi tersilap langkah hingga menyaksikan lebih 300 komunis yang menyamar sebagai orang awam berjaya ditangkap.

Kebanyakan mereka berlakon sebagai tukang kebun dan peniaga di pasar,” kata Kuda.

Paling menggerunkan kata Kuda, ketika masih dirawat di hospital apabila komunis memasuki kediamannya di kuarters Sibu.

“Ketika itu hanya isteri dan dua anak saya yang masih berusia lima dan enam tahun berada di rumah.

“Jeritan isteri didengari oleh jiran dan mereka datang ke rumah tetapi komunis sempat melarikan diri,” luahnya dalam nada marah.

Akibat kecederaannya memakan masa untuk sembuh, Kuda tidak berupaya untuk bertugas di lapangan dan bertempur lagi.

Kuda diberikan tugasan di pejabat hingga bersara.

“Enam bulan selepas itu, saya dipindahkan ke Pantu dan hanya bertugas di pejabat,” jelasnya yang mengalami kecacatan struktur tubuh sementara akibat tembakan itu.

Tubuhnya tidak dapat ditegak dan membongkok untuk tempoh masa yang lama.

Sebelum Operasi Ngayiau, Kuda pernah berkhidmat sebagai Pengawal Kem ketika perang Ganyang Malaysia iaitu semasa berlakunya konfrontasi Indonesia-Malaysia di Engkilili pada 1965.

Pesanan kepada generasi muda

Sepanjang 31 tahun tiga bulan menabur jasa, Kuda pernah menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara pada 2019 daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu Menteri Pertahanan.

Sempena Hari Sarawak, Kuda menitip pesan kepada generasi muda agar terus menjaga Sarawak demi kesejahteraan seluruh rakyatnya.

“Jika kami menjaga Sarawak daripada serangan musuh komunis, anak muda jagalah Sarawak daripada belenggu anasir luar yang boleh menggugat keamanan negeri ini dan rasa cinta kita akan Sarawak,” tegasnya penuh khuatir.

Dalam pada itu, Kuda berharap nasib Bujang Berani sepertinya dan rakan seangkatan lain yang umpama wira tidak didendang mendapat perhatian kerajaan.

“Hargailah kami selagi nyawa dikandung badan dan janganlah membiarkan kisah perjuangan kami terkubur dengan kematian kami kelak,” luahnya penuh sebak.

 

Suara Sarawak