Pemadam Sarawak serah sumbangan RM193,000 kepada Jabatan Pendidikan Negeri, bantu usaha banteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah

KUCHING: Persatuan Pencegahan Dadah Malaysia (Pemadam) cawangan Sarawak menyumbang RM193,000 kepada Jabatan Pendidikan Negeri untuk mengadakan program dan aktiviti kesedaran penyalahgunaan dadah di 193 sekolah menengah di seluruh bahagian.

Perkara ini diumumkan oleh Pengerusi Pemadam, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah semasa upacara penyerahan cek kepada Jabatan Pendidikan Negeri yang dihadiri oleh Pengarahnya, Dr Norisah Suhaili di Tingkat 17, Bangunan Baitul Makmur II di Petra Jaya hari ini.

Hadir sama Setiausaha Eksekutif Pemadam, Munawar Ismail.

Karim yang merupakan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan serta Menteri Belia dan Sukan berkata, sumbangan kewangan kepada sekolah-sekolah ini adalah yang pertama kali dianjurkan oleh Pemadam dengan tujuan memberi kesedaran kepada masyarakat terutama dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

Menurutnya, persatuan memberikan RM1,000 kepada setiap sekolah yang akan mengadakan siri ceramah anti-dadah dan penyalahgunaan dadah, ceramah, motivasi, pertandingan reka bentuk poster anti-dadah dan aktiviti lain yang dijalankan secara dalam talian.

Suara Sarawak