KUCHING: Pengerusi Sarawak United FC (SU FC), Datuk Posa Majais menegaskan, pihaknya tidak menghalang mana-mana pemain yang mahu berhijrah.
Menurut Posa, terpulang kepada pemain sama ada mahu terus kekal dalam skuad terbabit untuk musim depan atau sebaliknya.
“Terpulang kepada pemain sama ada mahu kekal bersama SU FC untuk musim depan atau sebaliknya.
“Kita tiada hak untuk menghalang mereka berhijrah atau mencari pasukan baharu musim depan. Lagipun sebagai seorang yang profesional mereka lebih tahu mengenai perkara itu,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kedudukan pemain dalam skuad SU FC.
Tambah Posa, perkara itu memang di bawah bidang kuasa pihaknya akan tetapi sekiranya ada pemain yang mahu tukar angin mereka menerima sebarang keputusan dengan terbuka.
Musim 2021 detik penuh bermakna buat SU FC dibawah kendalian jurulatih berpengalaman, E. Elavarasan apabila berjaya muncul naib juara Liga Premier 2021 sekali gus naik pangkat ke Liga Super 2022.