ARTIKEL

Pemain bintang dunia warnai bola sepak S’wak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KEHADIRAN bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Asier Illarramendi, bersama kelab Hong Kong, Kitchee SC ke Kuching cukup mengujakan ribuan peminat bola sepak di Sarawak.

Kitchee SC akan menentang Kuching City FC dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 di Stadium Taha Ariffin pada jam 8.15 malam ini. Ia bakal menarik sekitar 15,000 penonton ke stadium yang berkapasiti lebih 17,000 tempat duduk itu.

Illarramendi yang berusia 36 tahun pernah berundingan dengan legenda dunia, Cristiano Ronaldo, tidak terlalu muda, dan tidak pula terlalu tua, sesuai untuk terus bermain bersama kelab Asia.

Pemain tengah yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Hong Kong musim 2025/26 dan mengemudi kelebihan menjauari liga utama itu bukan calang-calang, kerana pernah menyertai kesebelasan utama Real Madrid pada musim 2013 hingga 2015.

Beliau beraksi bersama-sama bintang tersohor dunia seperti Sergio Ramos, Karim Benzema, Luka Modric, Iker Casillas, Angel De Maria, Marcelo Silva, Xavi Alonso, Pepe serta Cristiano Ronaldo. Sepanjang tiga musim, Illarramendi yang beraksi 90 perlawanan, menangani empat gelaran, Liga Juara-Juara UEFA, Piala Raja Sepanyol, Piala Dunia Kelab FIFA dan Piala Super UEFA.

Sebelum itu, beliau menyertai Real Sociedad yang beraksi dalam La Liga Sepanyol, serta FC Dallas (Amerika Syarikat). Selain itu, beliau turut menyertai jersi pasukan kebangsaan Sepanyol Bawah 23, 21, 19 dan 17 Tahun.

Dengan ketinggian 5 kaki 10 inci, fizikalnya amat sesuai untuk beraksi sebagai pemain tengah yang berwatak bertahan (defensive midfielder).

Turut berada dalam skuad Kitchee SC ialah bekas pemain Crystal Palace dan Cardiff City, Victor Camarasa yang bermain 31 perlawanan Liga Perdana Inggeris. Beliau juga pernah menyertai Real Betis dan Alaves (La Liga Sepanyol).

Dengan kehadiran pemain ternama ini, bukanlah mudah untuk Kuching City meraih kemenangan, apatah lagi selepas tewas 2-1 kepada Phnom Penh Crown FC dalam aksi pertama di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh, 17 September lalu.

Yang pasti, barisan pemain Kuching City pasti mengaut ‘seribu satu’ pengalaman berharga apabila menentang kelab-kelab hebat dalam saingan Liga Juara-Juara Asia. Ia juga bukan saingan Piala Shopee, yang turut disertai Kuching City.

Bukan sekadar sangat kompetitif, tetapi juga sangat fizikal dan lasak, serta aksi yang lebih pantas, berbanding Liga Malaysia. Kerana itulah Kuching City musim ini mempunyai saiz pasukan yang lebih besar, merangkumi import tempatan dan asing yang berkualiti.

Saingan Liga Juara-Juara Asia cukup penting buat pemain Kuching City terutama pemain tempatan untuk mengalami sendiri aksi peringkat tertinggi. Ia juga sebagai pendedahan terbaik, bagi menghadapi perlawanan penting peringkat domestik, seperti aksi final mahupun separuh akhir.

Tambahan pula Kuching City akan menentang Selangor dalam saingan separuh akhir Piala FA musim ini. Dengan penyertaan Liga Juara Asia, serta Piala Shopee, ia memberi kelebihan kepada pemain Kuching City dalam aspek motivasi dan keyakinan diri.

Oleh itu, perlawanan malam ini harus dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pemain ternama Kuching City seperti, Ajdin Mujagic, Gabriel Peres, Jerome Etame, Ramadhan Saifullah, Safawi Rashid, Haziq Nadzli, Joao Pedro, serta yang lain.

Kemunculan pertama Kuching City di pentas Asia, merupakan satu langkah besar arena bola sepak Sarawak, yang sebelum ini jatuh merudum.

Peminat di seluruh Sarawak sangat mendambakan kejayaan Kuching City, sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa, mengatasi pencapaian silam, era penghujung 80-an dan 90-an.

Oleh itu kehadiran pemain bintang ke Kuching sangat dialu-alukan dalam merangsang bola sepak negeri, sebagaimana pada 1997. Ketika itu, Sarawak antara enam lokasi Kejohanan Piala Dunia Belia 1997 (Bawah 20 Tahun), selain Johor, Selangor, Pahang, Kedah dan Perlis.

Tiga negara besar beraksi di Kuching, iaitu Brazil, Argentina dan Perancis. Perancis misalnya, dibarisi beberapa nama yang menjadi bintang besar selepas itu. Misalnya Thierry Henry, David Trezeguet, Nicolas Anelka dan Mikael Silvestre.

Stadium Sarawak yang menjadi gelanggang ketika itu, diserbu 40,000 penonton ketika perlawanan suku akhir dua kuasa besar, Brazil dan Argentina. Argentina menang.

Pada tahun tersebut juga bola sepak Sarawak melonjak, apabila menjuarai Liga Perdana 1997, di bawah kendalian jurulatih dari Australia, Alan Vest.

Selepas itu (2005), beberapa pemain ternama luar negara menyertai pasukan Sarawak, seperti Junaid Hartley, pemain ternama dari Afrika Selatan, bersama-sama nama besar dari negara jiran, Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto. Kedua-duanya dikatakan menerima gaji sekitar RM35,000 hingga RM40,000 ketika itu. Sepanjang saingan Liga Malaysia era 90-an, Stadium Negeri (kini Stadium Taha Ariffin) kerap dikunjungi bintang ternama Singapura, Fandi Ahmad bersama-sama Abbas Saad dan Alistair Edwards, sebagai gandingan tiga serangkai terbaik ketika itu.

Malah pemain terbilang negara seperti Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Radhi Mat Din, Nasir Yusof, Khairul Azman, Azman Adnan turut meriuhkan Stadium Negeri. Kehadiran mereka antara daya penarik penonton ke stadium, di samping tarikan utama, pasukan Sarawak yang cukup kuat ketika itu.

Kini kekuatan yang hilang sejak beberapa tahun kembali lagi, melalui pasukan Kuching City FC. Daripada liga amatur hinggalah ke liga profesional, Kuching City terus mengorak langkah, memburu pengiktirafan, di samping membina identiti kelab yang akan diingati peminat di seluruh pelosok negeri.

BERITA LAIN

Jaga data privasi kita

MINGGU lepas, dan sebenarnya banyak minggu, telefon pintar saya memaparkan iklan pelaburan hanya dengan jumlah kecil, tetapi memberikan pulangan lumayan. Bayangkan pelaburan hanya RM500, kita

ART pelaburan jangka panjang

BAGI penduduk bandar raya Kuching dan kawasan sekitarnya, perjalanan ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah, menghadiri urusan pejabat atau pulang ke rumah yang memakan masa

BERITA TERBARU