MUKAH: Pembangunan sukan hoki di Mukah semakin kukuh apabila pasukan di bahagian ini aktif menyertai kejohanan anjuran persatuan di luar bahagian.
Pegawai Pendidikan Daerah Mukah, Awang Yusri Awang Adeni berkata usaha berterusan itu mampu melonjakkan pencapaian hoki setaraf dengan sukan lain.
“Di Mukah, kita terkenal dengan sukan bola sepak dan bola tampar.

Tidak mustahil selepas ini hoki akan setaraf dengan kedua-dua sukan tersebut.
“Ini kerana banyak pencapaian pasukan hoki Bahagian Mukah telah menunjukkan potensinya sehingga ke peringkat negeri dan kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Dwitahunan Persatuan Hoki Bahagian Mukah 2024/2025 di Hotel Kingwood, malam tadi.

Mengulas lanjut, katanya, penyertaan aktif dalam kejohanan bukan sahaja mengukuhkan kemahiran pemain malah membuka ruang kepada bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Jelasnya, terdapat pemain yang telah berjaya mengharumkan nama negeri dan berpotensi mewakili negara sekiranya diberi peluang serta laluan pembangunan berterusan.
Sehubungan itu, Yusri turut memberitahu Pejabat Pendidikan Daerah Mukah akan sentiasa memberikan sokongan dan dorongan bagi memastikan kelangsungan latihan serta pembangunan atlet muda.
Tambahnya, sekiranya sokongan kewangan tidak dapat disalurkan, pihaknya akan memberikan sokongan moral serta kelonggaran daripada segi latihan kepada pemain agar mereka dapat berlatih secara konsisten tanpa menjejaskan komitmen akademik.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hoki Bahagian Mukah, Masri Usop memberitahu pasukannya telah banyak meraih kejayaan terutamanya pada tahun ini.
“Pada tahun 2025, kita telah menyertai Kejohanan Liga Hoki Dewan Peringkat Negeri Sarawak 2025 dan pasukan lelaki 15 tahun muncul juara, manakala pasukan perempuan 19 tahun memenangi tempat naib juara.
“Lebih membanggakan, beberapa pemain Mukah telah terpilih untuk mewakili Sarawak dalam Liga NHDP Kebangsaan 2025 di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim,” katanya.
Dalam pada itu, Masri menzahirkan penghargaan atas sokongan ibu bapa, guru-guru serta pihak Kementerian Belia dan Sukan Mukah.
Beliau turut berharap kejayaan yang dicapai pemain menjadi pemangkin semangat kepada generasi muda di Mukah untuk terus menjadikan sukan hoki sebagai wadah pembentukan jati diri, disiplin dan kecemerlangan.





