MALUDAM: Seorang pemuda berusia 27 tahun dikhuatiri hilang ketika memancing di kawasan hulu sungai dekat Kampung Seberang Maludam, di sini, hari ini.
Ketua Bomba dan Penyelamat Saratok Muhammad Shukur Jamaludin memberitahu, mangsa dikenali sebagai Abang Mohd Norazat Abang Salim.
“Difahamkan mangsa keluar berjalan kaki untuk menangkap ikan di pantai hulu sungai tersebut dan tidak pulang sehingga kini.



“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakkan hari ini telah menjumpai kasut dan joran dipercayai milik mangsa,” katanya di sini, hari ini.
Pihaknya turut memaklumkan insiden kehilangan tersebut kepada pihak perhilitan memandangkan terdapat kelibat buaya dikesan tidak jauh dari lokasi kasut dan joran ditemui.
Sehingga kini, pasukan SAR masih meneruskan pencarian di kawasan sekitar.
Perkembangan lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa.