KUCHING: Seorang pemandu bas sekolah mengaku bersalah di hadapan Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual dengan meraba buah dada seorang remaja perempuan, 14 April lalu.
Tertuduh Mohamad, 47, membuat pengakuan itu selepas satu pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 Akta sama, dibacakan jurubahasa di Hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman.
Mengikut pertuduhan, dia melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di Jalan Matang, Depo Link, kira-kira jam 1.18 petang, 14 April lalu.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Semasa sebutan kes, tertuduh memberitahu mahkamah bahawa dia merupakan penjawat awam yang bertugas sebagai pemandu bas di sebuah sekolah di sini.
Difahamkan, kesalahan jenayah yang melibatkan penjawat awam mempunyai kod spesifik yang disediakan oleh mahkamah dan perlu memaklumkan kepada pihak berkuasa berkaitan kes terbabit.
Oleh itu, Hakim Afidah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 12 Mei depan, manakala tertuduh dilanjutkan reman sehingga tarikh tersebut.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki telah ditangkap kerana melakukan amang seksual terhadap seorang remaja sekolah dengan meraba di bahagian dada.
Kejadian terbabit dikatakan berlaku ketika remaja berkenaan baru pulang dari sekolah menuju ke rumahnya di Jalan Matang, Depo Link.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
