ARTIKEL

Karikatur : Ukee

Pemandu berhemah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

IA bukanlah mengenai jenis kereta yang anda pandu, tetapi ia adalah apabila anda berada di belakang stereng.

Memandu kereta merupakan satu keseronokan lebih-lebih lagi ketika balik kampung bersama-sama keluarga atau rakan-rakan untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Dan lebih mendamaikan apabila melalui jalan raya rata dan sehala, sambil melihat panorama indah di pinggir jalan.

Perjalanan jauh yang mengambil masa beberapa jam tidak terasa, seolah-olah dua hingga tiga jam sahaja. Ditambah lagi dengan iringan lagu kegemaran masing-masing.

Bagi generasi lama, sudah pasti lagu Balik Kampung dendangan Allahyarham Sudirman Arshad menjadi pilihan.

Jika lagu raya, Dendang Perantau (P. Ramlee) atau Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone) menjadi pilihan.

Keadaan ini tidak akan dirasai oleh pemandu yang tidak mempunyai lesen, atau lesen sudah tamat tempoh, atau cukai jalan belum diperbaharui. Mereka ini sentiasa cemas sepanjang perjalanan, mengelak sekatan jalan raya.

Oleh itu pastikan anda tidak menyalahi undang-undang asas ini. Jadilah pemandu yang mematuhi peraturan.

Berkereta mewah jenis apa-apa pun, jika lesen sudah mati, atau cukai jalan tamat tempoh tiada gunanya, lebih baik berkereta kecil atau biasa-biasa sahaja asalkan mematuhi undang-undang jalan raya.

Sejak Lebuh Raya Pan Borneo siap, ramai yang ghairah balik kampung menggunakan kenderaan sendiri, tidak perlu lagi risau memikirkan tiket kapal terbang atau bas ekspres mahupun bot ekspres.

Memadai memastikan kereta berada dalam keadaan baik dan selamat sepanjang perjalanan. Itu cerita sekarang, bukan kisah silam, sekitar era 90-an dan era tahun 2000.

Tiada lebuh raya yang dilalui, dari selatan hingga utara Bumi Kenyalang.

Perjalanan cukup memenatkan, kerana menempuhi jalan, yang bukan sahaja tidak rata, tetapi juga berlubang sana sini.

Baca lain  Berganding bahu elak gelombang kedua Covid-19

Saya pernah mengambil masa 18 jam, dari Mukah ke Kuching, yang kini hanya 6 jam hingga 8 jam sahaja.

Memulakan perjalanan pada jam 6 pagi dan sampai ke destinasi jam 12 tengah malam.

Pelbagai halangan yang dilalui, termasuk beratur panjang untuk melalui jalan berlubang besar yang hampir terputus… bayangkan ketika itu lebih 200 buah kereta beratur panjang, menunggu giliran masing-masing untuk melepasi ‘halangan paling getir’.

Malah ketika musim banjir, kami juga terpaksa menunggu air sungai berdekatan surut, sekitar dua hingga tiga jam, dan ada kalanya sehingga empat jam.

Ia kerana keadaan jalan raya ketika itu tidak selamat untuk dilalui, kerana dilimpahi air sehingga empat kaki. Terpaksa menunggu air surut kerana tiada lagi jalan lain yang boleh dilalui.

Namun kini tiada lagi sejak terbinanya Lebuh Raya Pan Borneo bernilai sekitar RM21.9 bilion, yang begitu gah merentas segenap penjuru bahagian yang menjangkau sekitar 1,089 kilometer, dari Telok Melano hingga Lawas.

Generasi sekarang harus bersyukur kerana tidak perlu lagi bersusah payah melalui jalan teruk.

Namun dalam keseronokan, jangan pula lalai, alpa dan leka ketika memandu kerana ia bukan sekadar mengancam nyawa sendiri, tetapi meragut nyawa orang lain, yang langsung tidak bersalah.

Elak menjadi katak, yang sering menjadi mangsa di jalan raya.

Tinjauan Global Alliance Of Road Satety pada 2022 menyaksikan satu kemalangan jalan raya setiap 86 saat di Malaysia, dan satu nyawa terkorban setiap dua jam.

Ia berdasarkan jumlah keseluruhan kes kemalangan pada 2021, iaitu 370,286 kes dan meragut 4,539 nyawa.

Trend tersebut akan meningkat apabila bertambahnya kes kemalangan, jika pengguna mengabaikan sikap berhemah, dan tidak memahami asas mengelak risiko dalam pemanduan terutama pada musim perayaan.

Baca lain  Tanjung Datu dan Kepulauan Latuna

Menurut kajian terkini Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), faktor paling kritikal yang menyumbang kemalangan ialah kesalahan pemandu (80.6 peratus), keadaan jalan dan persekitaran (13.2 peratus), dan keadaan kenderaan (6.2 peratus).

Walaupun faktor jalan dan persekitaran hanya menyumbang kurang 15 peratus, namun pengguna jalan raya tetap menghadapi peningkatan risiko kemalangan kerana kerosakan jalan.

Namun terdapat cabaran utama melibatkan peruntukan yang disalurkan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) setiap tahun.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mendedahkan bahawa, KKR memerlukan sekitar RM4 bilion bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf jalan raya di seluruh Malaysia.

Yang pasti, peningkatan kes juga seiring dengan pertambahan kenderaan dari semasa ke semasa.

Tinjauan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2022 menyaksikan sebanyak 3.5 juta kenderaan berdaftar di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 4.3 peratus adalah kereta, 46.6 peratus motosikal, 4.7 peratus kenderaan perdagangan dan baki adalah bas, teksi, kereta sewa dan lainlain jenis kenderaan.

Ketika itu jumlah penduduk di Malaysia sekitar 32.6 juta (2022), namun kini meningkatkan kepada 33.5 juta (suku ketiga 2023).

Jadi jumlah kenderaan sekarang pasti lebih banyak.

Secara purata 16 hingga 18 orang yang meninggal dunia di jalan raya Malaysia setiap hari atau seorang mati setiap 90 minit.

Sebanyak 60 peratus membabitkan penunggang motosikal.

Realitinya jalan raya Malaysia adalah kelapan paling berbahaya di dunia.

Pelbagai usaha telah dilakukan pihak berkuasa, namun angka kematian tidak menunjukkan penurunan, malah semakin bertambah.

Jika Malaysia antara negara paling berbahaya, Jepun pula merupakan negara Asia terbaik, dan kedua terbaik di dunia.

Baca lain  Reka bentuk jaja identiti akhbar

“Jalan raya berirama” antara rahsia kejayaan Jepun.

Ia adalah satu kesan bunyi berirama daripada rumble strips (alur-alur yang diukir) yang memberikan amaran tertentu, terutama di kawasan berbahaya.

Ia adalah bonjolan kecil yang menghasilkan irama tertentu yang terhasil daripada alur-alur diukir di permukaan jalan.

Alur harus diukir berselang jarak yang tepat agar getaran udara daripada pergerakan tayar kenderaan pada kelajuan tertentu akan menghasilkan irama atau not muzik yang menarik.

Setiap jalan berirama mempunyai papan tanda, dengan kelajuan maksimum 50 km/j, dan hanya mengambil masa sekitar 30 saat.

Ia adalah salah satu cara menggalakkan pemanduan selamat, terutama di kawasan berbukit atau selekoh tajam.

Misalnya di jalan raya Shibetsu, Hokkaido yang memainkan lagu Shiretoko Love Song dan kawasan perkampungan Karashima di Gunma, dengan lagu Memories of Summer.

Terdapat lebih 30 lokasi jalan berirama di Jepun. Ia dikatakan mampu menenangkan ‘jiwa kacau’ pemandu.

Menurut bekas guru sekolah saya yang pernah tinggal enam tahun di Jepun, mereka yang pertama kali melalui jalan tersebut, pasti meremang bulu roma, kerana menganggap jalan raya di Jepun ‘berhantu’.

“Kebanyakan masyarakat Jepun, sentiasa berhemah di jalan raya, saling menghormati, dan sentiasa mengambil berat keselamatan diri dan orang lain. Itulah rahsia sebenar kejayaan mereka.

Namun jalan berirama juga banyak membantu mengurangkan kes kemalangan,” ujarnya.

Selain Jepun, empat lagi negara, Korea Selatan, Belanda, China dan Amerika Syarikat turut mempunyai jalan raya berirama.

Yang pasti, hanya perubahan sikap pemandu akan mengubah statistik kemalangan dan kematian di negara kita.

BERITA LAIN

Langit terbuka

MELETUSNYA Semeru di Jawa Timur dua hari lepas melimpahkan lahar sejuk di persekitaran, membawa hujan dan banjir sekitar Lembangan Sungai Regoyo. Pemindahan melibatkan 32 keluarga sekadar

Kenangan raya terkurung, terkejut

JIKA ditanya mengenai tempoh paling menyeronokkan menyambut Hari Raya Aidilfitri, sudah pasti kebanyakan kita akan memilih zaman kanak-kanak. Apa tidaknya, ketika itu kita tidak perlu

Raya terakhir kami?

SEMALAM ibu sahabat saya pergi di depan mata. Saya di sana, saya melihat bagaimana anaknya cuba menyelamatkan ibu mereka hingga ke titik terakhir. Namun, apabila

Obesiti selepas raya

PASTI ada yang kembali buncit pada hari raya kesembilan (hari ini), malah ada yang lebih besar kebuncitannya. Ia berpunca daripada pengambilan makanan berlebihan sejak raya

Jangka hayat, kematian semakin dekat

ADAKAH anda bersedia untuk mati? Adakah anda bersedia untuk meninggalkan legasi? Sekurang-kurangnya mendidik atau mempersiapkan pengganti untuk syarikat, pertubuhan dan sebagainya, termasuk dalam urusan pentadbiran.

Rayakan sebulan

HARI ini hari ketujuh kita menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sik berasa, terutama bagi golongan muda. “Lom puas beraya, dah mula bersekolah.” Antara dialog yang kita

BERITA TERBARU