Pemandu kereta mewah cuai tertekan pedal minyak

MIRI: Malang tidak berbau. Tiga buah kenderaan terlibat dalam kemalangan berantai akibat kecuaian pemandu di sebuah kompleks beli-belah di sini, hari ini.

Kejadian sekitar jam 12 tengah hari itu, didapati sebuah kenderaan merempuh pagar masuk berpalang semasa ingin mengambil kad tempat letak kereta.

Susulan kejadian terbabit, dua buah kenderaan lain yang berada di hadapan pada masa kejadian turut terkena rempuhan itu.

Bagaimana pun, tiada sebarang kemalangan jiwa dan apa-apa kecederaan dilaporkan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, kejadian itu berpunca dari kecuaian pemandu yang tersilap menekan pedal minyak semasa ingin berhenti.

“Pemandu itu tersalah tekan pedal minyak menyebabkannya bergerak ke depan lalu hilang kawalan hingga melanggar pengadang pagar kiri dan kanan yang akhirnya melanggar kenderaan di hadapan.

“Kemudian, kenderaan di hadapan itu pula bergerak ke hadapan dan melanggar kenderaan satu lagi,” katanya dalam satu kenyataan tadi.

Ujarnya, semua pemandu dan penumpang terlibat tidak mengalami kecederaan namun dinasihatkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Kes tersebut disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Suara Sarawak